PH Melaka muktamad keluar kerajaan negeri

PH Melaka muktamad keluar kerajaan negeri

 

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada Kerajaan Negeri.

Keputusan tersebut sekali gus mengakhiri kerjasama politik yang terjalin sebelum ini susulan bantahan terhadap pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan berkenaan yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) di Bukit Katil hari ini bagi membincangkan perkembangan politik semasa di negeri ini.

Menurut kenyataan tersebut, mereka menegaskan penarikan diri itu dibuat selepas pendirian gabungan tersebut menolak pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan dimuktamadkan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi yang menetapkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau ADUN yang tidak lagi menyokong usul kerajaan tidak wajar terus menikmati keistimewaan serta kemudahan sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri.

“Penarikan diri daripada Kerajaan Negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang Exco atau ADUN daripada kerajaan negeri tidak lagi menyokong sesuatu usul kerajaan di dalam Dewan Undangan Negeri, mereka tidak lagi layak menerima keistimewaan dan kemudahan kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain pengunduran lima ADUN daripada pentadbiran negeri, PH Melaka turut memutuskan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mewakili gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Julai ini.

Menurut mereka, tempoh sehingga hujung bulan diberikan bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam masa sama, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri Melaka serta seluruh penjawat awam negeri atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka berada dalam pentadbiran negeri.

Walaupun tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, gabungan itu menegaskan lima ADUN PH akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat dan memperhebat usaha membela kepentingan rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik sehingga tamat penggal mandat semasa. – UTUSAN

 

HABIS…./

Scroll to Top