am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Himpunan demi himpunan solidariti bagi menuntut keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus mendapat sambutan luar biasa masyarakat.
Malam tadi, ribuan orang berkumpul lagi dan menukar kawasan parkir Kompleks Sukan Likas di sini kepada lautan manusia yang membawa mesej menuntut keadilan dan menghentikan budaya buli.
Mereka hadir termasuk peserta konvoi kenderaan dari Masjid Bandaraya menyokong Himpunan Solidariti 2.0 Justice for Zara, sekali gus dianggap himpunan terbesar di daerah setakat ini.
Ramai yang hadir turut mengangkat sepanduk dan plakad bertulis ‘Keadilan Untuk Zara’ dan ‘Tolak Buli.’
Beberapa wakil masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berucap menggesa langkah menyeluruh diambil kerajaan untuk membanteras budaya buli di sekolah, selain menjamin keselamatan pelajar.
Malah, ada yang tidak dapat menahan sebak apabila nama Allahyarham dilaungkan berulang kali.
Sejak siri pertama himpunan solidariti itu diadakan di Lintasan Deasoka, gelombang kebangkitan terus berkembang bukan sahaja di Sabah, malah hingga ke Sarawak dan Semenanjung.
© New Straits Times Press (M) Bhd
