Hip Hop Malaysia ‘sihat’ – Joe Flizzow

JIKA bukan kerana Joe Flizzow yang pernah menganggotai kumpulan rap Too Phat bersama sahabatnya, Malique suatu ketika dahulu, nuansa muzik hip hop di negara ini tidak akan berada pada tahap sekarang.

Anda bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat sebegitu. Tiada bantahan.

Dilambungkan persoalan apa dan bagaimana pendapat Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 41, tentang industri muzik hip hop sekarang yang terus berkembang maju, lelaki itu tersenyum sebelum melontarkan buah fikiran yang cukup padu.

Hip hop Malaysia ‘sihat’

Kata Joe, perkembangan muzik hip hop tanah air kini sangat ‘sihat’. Biarpun sudah membawa haluan solo, namun misi mereka (Too Phat) untuk melihat kemajuan genre hip hop tidak pernah terpadam.

“Ketika kami muncul dengan genre ini, hip hop dikuasai beberapa individu sahaja. Saya ingat lagi, bagi kategori Lagu Hip Hop Terbaik pada acara Anugerah Industri Muzik (AIM), lagu ciptaan Too Phat mendominasi senarai pencalonan.

Joe kongsikan bahawa impian sebenarnya pada waktu kecil ialah menjadi seorang pemain bola sepak, namun semuanya tidak kesampaian memandangkan dia tidak begitu mahir dalam sukan berkenaan. – IHSAN UNIVERSAL MUSIC

“Sedangkan ada ramai lagi penyanyi daripada genre ini menanti peluang sama. Situasi itu menyedarkan saya betapa perlu berbuat sesuatu untuk mengetengahkan golongan itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi rap berbakat. Cuma mereka tidak diberi peluang. Disebabkan itu, saya menubuhkan label Kartel Records. Saya juga menghasilkan program 16 Baris untuk mencari penyanyi berbakat dari dalam dan luar negara,” kata Joe kepada HibGlam pada majlis pelancaran muzik video Ciao secara maya baru-baru ini.

Kini, dia berbangga melihat ramai bakat baharu tempatan yang mewarnai muzik hip hop tanah air. Ujarnya, dia gembira melihat semakin ramai anak muda berminat menyertai komuniti itu.

“Hari ini, kita lihat ramai pelapis muda menyinar dalam senario muzik hip hop seperti kumpulan K-Clique dan Yonnyboii. Saya masih ingat beberapa tahun lalu, Yonnyboii pernah menghantar mesej peribadi kepada saya untuk meminta tunjuk ajar.

“Saya bimbing apa yang patut dan lihatlah di mana kedudukannya hari ini. Saya puas dapat membimbing dan berkongsi pengalaman dengan anak muda yang bakal menjadi pelapis pada masa akan datang.

“Seperkara yang membuatkan saya bangga juga, kalau kita lihat dalam mana-mana majlis anugerah, kebanyakan penarinya lahir daripada genre muzik hip hop.

“Walaupun sudah lebih dua dekad, wajah-wajah mereka masih lagi diperlukan untuk mengiringi persembahan penyanyi. Itu menunjukkan muzik hip hop boleh dijadikan kerjaya untuk menjamin masa depan mereka,” luahnya panjang lebar.

Sumber: Kosmo

Scroll to Top