Hobi 'mahal' Mohd Saifuldin jadi terapi, jana pendapatan

Hobi 'mahal' Mohd Saifuldin jadi terapi, jana pendapatan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Lebih RM100,000 dibelanjakan lelaki ini bagi membeli mainan vintaj yang dikumpul dan dijadikan koleksi secara serius sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Saifuldin Mat Zain, 43, tidak pernah menyesal membelanjakan wang sebanyak itu kerana minat dan menganggap hobinya sebagai terapi.

Baginya, hobi itu juga boleh menggamit kenangan lalu terutama ketika kecil kerana kebanyakan mainan dalam koleksi kesayangannya adalah keluaran tahun 70-an hingga 80-an dan jarang ditemui memandangkan tiada lagi di pasaran.

“Masa kecil nak beli tapi tak mampu walaupun dulu harganya murah malah ada yang tak sampai RM100 pun.

“Bila sudah besar dan bekerja, baru ada kemampuan walaupun harganya sudah berlipat kali ganda. Semuanya sebab minat kerana bagi saya, orang lelaki ini mesti ada hobi.

“Ikutkan sejak zaman sekolah lagi suka dengan mainan berkenaan sampai pernah simpan duit belanja dan kerja sambilan untuk beli tapi minat nak kumpul dengan serius pada 2011 selepas dapat kereta mainan Hot Wheels daripada kawan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Taman Desa Ros, di sini.

Bertitik tolak daripada situ, Mohd Saifuldin berkenalan dengan pengumpul lain yang memberi dorongan untuk mengumpul mainan seperti figura Transformers, Super Sentai, Power Rangers, Thundercats, Kamen Rider, Iron Man dan kereta Tomica.

Bapa empat anak itu berkata, dia pun tidak mengira berapa banyak koleksi yang ada namun menyimpannya semuanya dalam rak di satu bilik khas di rumahnya.

Pada waktu terluang, Mohd Saifuldin akan mengelap mainan berkenaan bagi membersihkannya daripada habuk.

“Pengumpul itu yang ‘racun’ dan tanam minat dengan kebanyakan mainan dibeli secara terus daripada penjual di laman sosial dan Jepun tapi ada juga dapat hasil ‘menyelam’ di pasar karat.

“Dulu simpan dalam kotak saja sebelum ada rak kaca macam sekarang… isteri mulanya tak faham minat saya, emak pun kata membazir tapi bila tengok boleh jual dengan harga berganda, mereka bagi sokongan.

“Lagipun, bila terdesak nak pakai duit contoh kereta rosak waktu mahu balik kampung atau pergi berjalan dengan keluarga boleh muat naik gambar mainan untuk jual dan pasti ada pengumpul berminat nak beli,” katanya.

Di sebalik keseronokan dan kepuasan dikecapi, Mohd Saifuldin mengakui wujud segelintir individu mempersoalkan hobinya itu yang dianggap sinonim dengan kanak-kanak.

“Mungkin kerana faktor usia, ada yang kata begitu dan sebab mereka tak faham serta tahu mainan itu ada nilainya di pasaran.

“Hakikatnya selain mengumpul, saya juga jadikan mainan itu sebagai sumber rezeki untuk menambah pendapatan dengan berniaga di tapak Car Boot Sale (CBS), Seksyen 15, Bandar Baru Bangi setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Saya bermula daripada bawah sebelum jadi pengurus, jadi tak ada masalah pun berniaga di CBS kerana seronok jumpa pelanggan dan pengumpul yang berkongsi minat sama,” katanya yang tidak pernah terfikir menjual semua koleksi kerana berharap anak lelakinya dapat mewarisi dan menyambung legasinya sebagai pengumpul mainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top