Hodak kembali pimpin Kelantan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kelantan: Adakah benar jurulatih kelahiran Croatia, Bojan Hodak bakal membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021?

Persoalan timbul selepas namanya dikaitkan dengan pasukan Kelantan FC bagi menghadapi kempen Liga Perdana tahun hadapan.

Spekulasi itu bertiup kencang dalam kalangan peminat bola sepak The Red Warrior (TRW) yang sememangnya merindui sentuhan ajaib Hodak yang pernah menerajui Kelantan selama dua musim dari 2012-2013.

Jika benar Hodak adalah pilihan pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman, ia sememangnya pilihan yang tepat berdasarkan kepada rekod pencapaiannya dalam liga tempatan.

Ia kerana setiap pasukan yang dibimbingnya pasti berjaya merangkul piala seperti mana yang dilakukannya ketika bersama UPB MyTeam FC, Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.

Semasa membimbing skuad TRW, Hodak berjaya mencipata sejarah unik dalam liga tempatan apabila membawa pasukan itu muncul juara ‘treble’ pada 2012 dengan menjulang Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pada musim kedua, barisan kendaliannya berjaya mempertahankan Piala FA selain mara ke final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut sebelum tumpas kepada Pahang.

Pada musim 2014, beliau berhijrah ke JDT dan berjaya memimpin skuad JDT bagi memenangi Liga Super buat kali pertama .

Selepas itu, sentuhan ajaibnya ditagih oleh skuad kebangsaan bawah 19 (B-19) tahun negara dan hasilnya berjaya menjuarai Piala AFF B-19 di Indonesia selain layak secara merit ke pusingan akhir saingan AFC B-20 pada 2018.

Begitupun, difahamkan Norizam ketika ini turut sedang mempertimbangkan jurulatih dari Itali seperti mana yang ditulisnya di laman Facebook rasmi miliknya kelmarin.

“In Sha Allah ketua jurulatih Kelantan FC dari Itali”, katanya.

Apapun, peminat setia TRW pastinya sudah tidak sabar menunuggu pengumuman rasmi jurulatih baharu pasukan selepas pengendali musim ini, Yusri Che Lah disahkan tidak lagi menerajui kelab itu pada musim depan.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk