Hoe Yean buru pencapaian terbaik di Sukan Komanwel, Sukan Asia

Hoe Yean buru pencapaian terbaik di Sukan Komanwel, Sukan Asia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mengakui Sukan Asia Aichi-Nagoya, September depan menjadi keutamaan skuad renang kebangsaan, namun dia tetap berhasrat mempamerkan aksi terbaik pada Sukan Komanwel yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Menurut Hoe Yean, program latihan pasukan disusun dengan kemuncak prestasi menjelang Sukan Asia 2026, manakala Sukan Komanwel pula tetap dianggap sebagai pentas untuk mereka mendapatkan momentum terbaik.

“Bagi kami, sasaran utama adalah Sukan Asia. Sukan Komanwel juga kejohanan yang penting, tetapi kami merancang untuk mencapai prestasi terbaik di Sukan Asia.

“Sudah tentu kami masih mahu berenang dengan baik di Sukan Komanwel, namun keutamaan tetap diberikan kepada Sukan Asia,” katanya.

Perenang berusia 24 tahun itu akan menyertai lima acara kali ini iaitu 400 meter (m) gaya bebas, 800m gaya bebas, 1,500m gaya bebas, 4x100m gaya bebas berganti-ganti dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti.

Hoe Yean berkata, proses penyesuaian bersama ketua jurulatih renang baharu, Michael Kinross berjalan lancar dan memberi petanda positif menjelang dua temasya utama itu.

Katanya, jurulatih baharu itu mula menyertai pasukan ketika siri Jelajah Renang Mare Nostrum 2026 pada Mei lalu dan sejak itu persiapan berjalan mengikut perancangan ditetapkan.

“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik apabila kami sedang menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu dan saya rasa persiapan bukan sahaja baik untuk saya, malah seluruh pasukan.

“Kami semua teruja dan tidak sabar untuk menghadapi Sukan Komanwel sebelum memberi tumpuan penuh kepada Sukan Asia 2026,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top