Sakit lutut pada remaja boleh jadi petanda kanser

Sakit lutut pada remaja boleh jadi petanda kanser

Sakit lutut dalam kalangan remaja memang biasa, terutama bagi mereka yang aktif bersukan. Ia sering dianggap sebagai kecederaan ringan atau ‘growing pains’. Namun, jika sakit berterusan dan semakin teruk, ibu bapa perlu lebih peka kerana ia mungkin petanda masalah yang lebih serius iaitu kanser.

Osteosarkoma ialah sejenis kanser tulang yang agresif dan banyak menyerang kanak-kanak serta remaja. Sebanyak 75 peratus kes berlaku sebelum usia 25 tahun. Kanser ini juga kerap muncul di sekitar lutut. Keadaan itu menyebabkan simptom awalnya mudah disalah anggap sebagai kecederaan ketika bersukan.

Menurut Pakar Bedah Onkologi Ortopedik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Tie Teck Liang, ibu bapa perlu melihat corak kesakitan, bukan sekadar tahap kesakitan. Sakit akibat kecederaan biasanya berkurangan selepas berehat atau mengambil ubat tahan sakit. Sebaliknya, sakit yang berterusan lebih dua minggu perlu diperiksa doktor.

Sakit lutut pada remaja boleh jadi petanda kanser

“Ibu bapa juga perlu mengambil perhatian jika sakit menyebabkan anak terjaga pada waktu malam atau tidak lega walaupun sudah mengambil ubat. Tanda lain yang perlu diberi perhatian termasuk kaki bengkak, kemunculan benjolan, berjalan terincut-incut atau sakit tanpa punca yang jelas.

“Osteosarkoma sukar dikenal pasti kerana kanak-kanak dan remaja memang aktif. Mereka kerap berlari, melompat atau terjatuh. Justeru, sakit pada lutut mudah dikaitkan dengan aktiviti sukan.

Namun, berbeza dengan kecederaan biasa, osteosarkoma terus berkembang dan tumor boleh membesar dengan cepat,” katanya.

Pengimejan memainkan peranan penting dalam mengesan masalah ini. Imbasan sinar X biasanya menjadi pemeriksaan awal bagi kesakitan tulang yang berterusan. Jika terdapat sesuatu yang mencurigakan, MRI boleh dilakukan bagi menentukan saiz tumor serta kedudukannya berbanding saraf dan saluran darah.

Jika pengimejan menunjukkan kewujudan tumor, biopsi diperlukan untuk mengesahkan diagnosis. Namun, prosedur itu perlu dirancang dengan teliti.

Menurut Dr. Teck Liang, biopsi sebaiknya dilakukan oleh pakar bedah yang akan menjalankan pembedahan tumor. Ini kerana laluan biopsi perlu dibuang ketika pembedahan seterusnya.

Rawatan osteosarkoma kini semakin maju. Jika dahulu amputasi sering menjadi pilihan, kini pembedahan menyelamatkan anggota badan boleh dilakukan dalam kes tertentu. Tumor dibuang bersama margin tisu sihat sebelum tulang yang terjejas dibina semula menggunakan implan atau kaedah rekonstruksi biologi.

Antara kaedah yang digunakan dalam kes terpilih ialah krioterapi. Tulang pesakit yang mengandungi tumor dirawat menggunakan nitrogen cecair pada suhu -196 darjah Celsius bagi memusnahkan sel kanser sebelum tulang itu diimplan semula. Pendekatan ini membolehkan tulang pesakit sendiri digunakan dalam proses rekonstruksi.

Pemulihan pula tidak berakhir selepas pembedahan. Fisioterapi biasanya dimulakan secara berperingkat bagi mengembalikan pergerakan dan kekuatan anggota. Rawatan boleh mengambil masa sekitar setahun dan turut melibatkan kemoterapi serta pemantauan berterusan.

Scroll to Top