am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) mengesahkan tiada sebarang tindakan tatatertib dikenakan terhadap mahasiswa yang tular susulan daripada persoalan serta pandangan yang disuarakan dalam sesi iFuture, baru-baru ini.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata UM sentiasa menghormati hak mahasiswa untuk bertanya dan menyuarakan pandangan mereka.
Katanya, platform seperti iFuture yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi ruang penting untuk mahasiswa berdialog secara langsung dengan kepemimpinan universiti.
“Saya mengambil maklum mengenai perhatian dan pelbagai reaksi yang timbul susulan perkara itu.
“Saya ingin menjelaskan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap mahasiswa berkenaan.
“Sehubungan itu, dakwaan yang tersebar mengenai perkara ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, satu klip video yang memaparkan kenyataan lantang seorang pelajar UM mengenai skandal Lembaga Tabung Haji dan kutipan derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta menarik perhatian orang ramai.
Mahasiswa wanita itu meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.
Noor Azuan berkata, perbezaan pandangan bukanlah suatu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu terus dipupuk.
“Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dalam semua perkara, namun mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bersuara dan didengari.
“UM akan terus komited untuk menjadi gedung ilmu terunggul yang melahirkan bakat terbaik negara, di samping membentuk sahsiah dan watak mahasiswa yang berfikiran kritis, berprinsip serta bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




