ARAU: Isu melibatkan tanaman padi perlu dilihat dengan perspektif lebih luas dan bukan hanya membabitkan aspek baja atau subsidi semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem pesawah khususnya di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, sebagai contoh, beliau difahamkan terdapat banyak unit atau sawah di negeri ini tidak mendapat bekalan air sebaiknya disebabkan pam gagal menarik sumber ke kawasan tanaman diusahakan.
Selain itu katanya, kos peningkatan diesel yang tinggi turut memberi kesan berikutan terdapat banyak jentera padi di kawasan luar bandar tidak mempunyai lesen khusus.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jadi pesawah menyuarakan agar kerajaan dapat pertimbangkan supaya subsidi diesel boleh diberi secara langsung melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kerana mereka semua mendaftar sebagai ahli dan pihak terlibat turut mempunyai data lengkap.
“Jadi solusi mereka adalah dengan menyalurkan diesel melalui PPK dan PPK dapat salur semula kepada pengusaha yang menggunakan jentera melalui data yang mereka ada,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pesawah di kawasan Arau di sini hari ini.
Beliau juga berharap agar kerajaan dapat melihat berkaitan soal kualiti benih, baja dan racun padi susulan pelbagai rungutan diterima daripada pengusaha tanaman padi.
Jelas beliau, isu ini perlu diberi perhatian memandangkan keadaan itu dapat menjejaskan hasil tuaian padi yang tidak berpatutan dengan usaha dan kos dikeluarkan pesawah.
“Kita tidak mahu pesawah mengusahakan bendang dalam keadaan rugi kerana kalau berlarutan dibimbangi mereka akan berhenti mengusahakan tanaman ini, sekali gus menjejaskan pengeluaran padi negara,” katanya.
Beliau juga sedang berusaha mengatur pertemuan antara pesawah bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam masa terdekat bagi mencari solusi terbaik dalam permasalahan dihadapi itu.
“Saya minta kementerian agar melihat perkara ini dalam membantu membela nasib pesawah khususnya apabila timbulnya isu kelewatan baja pada musim lepas.
“Malah saya juga cadang dalam pertemuan dengan KSU nanti agar perkara berkaitan kerugian disebabkan oleh kelewatan ini dapat dibawa kerana ia bukan berpunca daripada pesawah tapi syarikat pembekal yang melalui kontrak kerajaan,” katanya merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.-UTUSAN




