sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jika ada anugerah pemain paling banyak menumpahkan darah buat negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam malam tadi, sudah tentu Rodrigo Holgado adalah pemenangnya.
Ia selepas bahagian belakang kepalanya tercedera akibat berlaga dengan pemain Vietnam yang menyaksikan darah mengalir mencurah-curah hingga terkena jersinya.
Arena Metro yang cuba mendapatkan maklumat mengenai kecederaan itu dimaklumkan, pemain berdarah warisan Argentina-Malaysia itu terpaksa menerima beberapa jahitan di kepalanya selepas perlawanan berakhir.
Ternyata pengorbanan penyerang kelab Colombia, America De Cali itu bukan ‘kaleng-kaleng’ apabila sanggup bergadai nyawa termasuk menerima jahitan demi memastikan lencana di dada keluar sebagai pemenang dalam perlawanan itu.
Lebih manis, dia turut meledak gol sulung bersama skuad Harimau Malaya dalam penampilan pertamanya buat Malaysia di pentas antarabangsa sekali gus menutup kritikan segelintir pihak yang sebelum itu mempersoalkan kesetiaan dan kesungguhan pemain berdarah warisan.
Malah selepas aksi itu, Holgado sendiri akui cukup gembira dengan prestasinya apabila dapat membantu pasukan kebangsaan membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.
Katanya, dia akan pulang terus ke Colombia untuk mengharungi saingan liga di sana dengan rasa kepuasan serta tidak sabar mengharungi cabaran seterusnya bersama skuad negara.
“Pulang ke rumah (Colombia) dengan gembira dan banyak cabaran serta impian yang ingin dicapai,” katanya ringkas yang berkongsi perasaan gembira dalam bahasa Sepanyol.
Dalam aksi itu, anak buah Peter Cklamovski terpaksa menunggu sehingga babak kedua sebelum berjaya merobek gawang Vietnam dengan empat gol Malaysia disumbangkan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Dion Cools dan Corbin Ong.
Kejayaan memungut tiga mata penuh itu menyaksikan skuad negara memimpin carta Kumpulan F dengan enam mata daripada dua aksi dilalui sekali gus berpeluang layak ke Piala Asia 2027 buat kali kedua berturut-turut selepas turut layak pada edisi lalu di Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




