Broos sah tinggalkan Bafana Bafana

Broos sah tinggalkan Bafana Bafana

Atlanta: Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos mengesahkan beliau akan meninggalkan skuad Bafana Bafana selepas timbul spekulasi selama dua minggu mengenai masa depannya susulan kejayaan membawa pasukan itu mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.

Sebelum kejohanan bermula, pengendali berusia 74 tahun itu sudah menyatakan hasrat untuk bersara.

Namun selepas Afrika Selatan tewas kepada tuan rumah bersama, Kanada, pada pusingan 32 terbaik 28 Jun lalu, Broos mengakui masih mempertimbangkan untuk terus kekal.

Bagaimanapun, dalam temu bual bersama media di negara kelahirannya, Belgium, Broos mengesahkan beliau tidak akan meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih namun bersedia membantu Persatuan Bolasepak Afrika Selatan (SAFA) dalam kapasiti lain.

“Adakah saya akan terus menjadi jurulatih? Tidak, keputusan itu muktamad.

“Jika mereka memerlukan saya untuk tugas lain, mungkin dalam pencarian bakat atau peranan lain, itu berbeza. Tetapi bola sepak tidak lagi akan menjadi sebahagian daripada hidup saya selama 24 jam sehari,” katanya kepada voetbalnieuws.be.

Broos berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden SAFA yang mahu beliau terus bersama badan induk itu sebagai penasihat atau dalam peranan lain.

“Saya akan kembali ke Afrika Selatan pada penghujung Julai untuk mengucapkan selamat tinggal secara rasmi. Saya ingin melihat cadangan yang akan dikemukakan kepada saya,” katanya.

Sepanjang lima tahun mengendalikan Afrika Selatan, Broos muncul jurulatih paling lama berkhidmat dalam sejarah negara itu serta berjaya membawa Bafana Bafana layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Dalam nada berseloroh, Broos berkata isterinya gembira dengan keputusan persaraannya, namun memberi amaran supaya beliau tidak terlalu banyak berada di rumah.

“Isteri saya gembira saya berhenti, tetapi dia sudah berpesan: ‘Pastikan saja awak tidak mengganggu saya!.

“Kalau saya perlu berada di Afrika Selatan beberapa minggu setiap dua bulan, mengapa tidak? Itu lebih baik daripada saya menganggur di rumah tanpa apa-apa untuk dilakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top