Hon Jian-Haikal mara ke pusingan kedua Terbuka Korea

Hon Jian-Haikal mara ke pusingan kedua Terbuka Korea

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mara ke pusingan kedua Terbuka Korea 2025 di Suwon, hari ini.

Hon Jian-Haikal menewaskan pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 21-12 selepas 36 minit permainan di Suwon Gymnasium.

Gandingan itu akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan keempat kejohanan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun dan wakil Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dalam pusingan seterusnya.

Sementara itu, tiga beregu lelaki negara menamatkan kempen kejohanan hari ini.

Low Hang Yee-Ng Eng Cheong terpaksa menarik diri ketika menentang beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita manakala Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tunduk 18-21, 12-21 kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.

Lau Yi Sheng-Lim Tze Jian turut terkandas selepas tunduk kepada pasangan tuan rumah, Song Hyun Cho-Jin Sung Ik 7-21, 17-21.

Dalam saingan beregu wanita, wakil negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tewas 13-21, 11-21 kepada gandingan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun manakala dalam pusingan kelayakan beregu campuran, Loo Bing Kun-Go Pei Kee tampil garang namun dikecewakan beregu Taiwan Lin Bing Wei-Lin Jhih Yun 19-21, 18-21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top