Shukor buru final, mahu anak buah atasi Laos

Shukor buru final, mahu anak buah atasi Laos

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 17 (B-17) tahun negara, Shukor Adan memasang tekad besar untuk membawa anak buahnya melangkah ke pentas final apabila turun menentang Laos dalam aksi separuh akhir Piala AFF B-17 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia, petang esok.

Menurutnya, peluang yang sudah berada di depan mata tidak harus disia-siakan, malah beliau mahu pemain menggunakan momentum sedia ada untuk mencipta kejayaan.

“Alang-alang kita sudah ada di separuh akhir, itu sasaran yang kita letakkan kepada pemain dan itu juga sasaran saya.

“Selepas aksi dengan Timor Leste (aksi terakhir Kumpulan A sebelum ini), saya juga bercakap kepada pemain, alang-alang kita dah sampai ke tahap ini, kita kena buat sehabis baik untuk layakkan diri ke final,” katanya.

Untuk rekod, biarpun saingan ini babitkan B-17 namun skuad kendalian Shukor adalah yang paling muda dalam kejohanan ini apabila membariskan majoriti pemain B-16, termasuk dua tonggak berusia 15 tahun.

Shukor yang juga bekas tonggak pertahanan negara mengakui beliau masih menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan anak buahnya.

“Saya masih yakin dengan pemain-pemain saya. Apa yang kita lihat, mereka mempunyai motivasi yang sangat baik untuk melayakkan diri ke final,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu pemain terlalu memikirkan sejarah, sebaliknya fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan ini pada 2019, tapi bagi saya perlawanan dengan Laos itu lebih penting dahulu. Kita pergi setiap perlawanan dan fokus penuh untuk aksi separuh akhir ini,” katanya.

Shukor turut mengharapkan sokongan padu daripada rakyat Malaysia bagi membakar semangat pemain muda negara.

“Saya harap doa daripada penyokong-penyokong Malaysia supaya terus beri sokongan dan dorongan kepada anak-anak ini untuk lakukan yang terbaik. Moga kita dapat bawa Malaysia ke final pada 24 April ini (Jumaat ini) nanti,” katanya.

Skuad cilik negara mara ke separuh akhir selepas muncul sebagai pasukan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan untuk mengiringi Vietnam yang bergelar juara Kumpulan A diikuti Laos juara kumpulan B dan Australia yang mengungguli Kumpulan C.

Sepanjang tiga aksi dalam Kumpulan A itu, Malaysia tumbang 0-4 di tangan Vietnam pada perlawanan pertama sebelum bangkit mengejutkan Indonesia 1-0 dan menewaskan Timor Leste 2-0 untuk mengumpul enam mata, sekali gus meraih tiket ke separuh akhir selaku naib juara terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top