Elok kritikal pilih meja ikut kesesuaian kediaman dan ruang

Elok kritikal pilih meja ikut kesesuaian kediaman dan ruang

amir_hamid@mediaprima.com.my

Meja mungkin kelihatan seperti perabot biasa dalam sesebuah rumah, namun pemilihannya memberi kesan besar terhadap keselesaan, susun atur ruang dan gaya hidup penghuni.

Ramai pengguna cenderung memilih meja berdasarkan reka bentuk atau harga semata-mata tanpa mengambil kira fungsi sebenar serta keluasan ruang yang tersedia.

Akibatnya, ruang menjadi sempit, pergerakan terhad dan penggunaan perabot tidak optimum.

Pemilihan meja yang tepat perlu bermula dengan memahami tujuan penggunaannya.

Sama ada untuk bekerja, menjamu selera, belajar, meletakkan hiasan atau menerima tetamu, setiap fungsi memerlukan reka bentuk dan saiz yang berbeza.

Bagi ruang makan misalnya, meja perlu dipilih berdasarkan jumlah ahli keluarga dan keluasan ruang. Meja yang terlalu besar boleh menyukarkan pergerakan, manakala meja terlalu kecil pula tidak praktikal ketika menerima tetamu.

Untuk keluarga kecil atau kediaman berkonsepkan apartmen, meja makan berbentuk bulat sering menjadi pilihan kerana tidak mempunyai bucu tajam dan lebih menjimatkan ruang.

Selain itu, ia mewujudkan suasana lebih mesra ketika makan bersama.Bagi ruang yang panjang dan sempit pula, meja berbentuk segi empat tepat lebih sesuai kerana dapat memaksimumkan penggunaan ruang tanpa mengganggu laluan.

Meja kerja perlu ergonomik

Sejak budaya bekerja dari rumah (BDR) semakin menjadi kebiasaan, keperluan terhadap meja kerja yang selesa dan ergonomik turut meningkat.

Pemilihan meja kerja tidak boleh dibuat secara sambil lewa kerana ia mempengaruhi postur badan dan tahap produktiviti.

Ketinggian meja yang ideal biasanya sekitar 70 hingga 75 sentimeter daripada lantai.

Permukaannya pula perlu cukup luas untuk menempatkan komputer, dokumen serta aksesori kerja tanpa menyebabkan keadaan berselerak.

Bagi mereka yang mempunyai ruang terhad, meja lipat atau meja yang dipasang pada dinding boleh menjadi penyelesaian praktikal.

Apabila tidak digunakan, ia boleh dilipat semula bagi menjimatkan ruang.

Selain itu, meja yang dilengkapi rak simpanan atau laci membantu mengurangkan kekusutan dan memastikan ruang kerja sentiasa kemas.

Sesuaikan dengan keluasan ruang

Satu daripada kesilapan paling biasa ialah membeli meja tanpa mengukur ruang terlebih dahulu.

Peraturan mudah yang sering digunakan pereka dalaman ialah memastikan terdapat ruang sekurang-kurangnya 90 sentimeter di sekeliling meja bagi membolehkan kerusi ditarik keluar dan penghuni bergerak dengan selesa.

Dalam ruang tamu yang kecil, meja kopi bersaiz sederhana atau berbentuk bulat lebih sesuai berbanding meja besar yang mendominasi ruang.

Bagi rumah moden yang berkonsepkan minimalis, penggunaan meja pelbagai fungsi semakin popular.

Contohnya, meja kopi yang mempunyai ruang simpanan tersembunyi atau meja makan yang boleh dipanjangkan apabila diperlukan.

Material turut memainkan peranan

Selain saiz dan bentuk, material meja juga penting dalam menentukan ketahanan serta gaya kediaman.

Untuk sedap dipandang, meja kayu masih kekal menjadi pilihan popular kerana tampil hangat, klasik dan mudah dipadankan dengan pelbagai konsep dekorasi.

Meja kaca pula memberikan ilusi ruang yang lebih luas dan sesuai untuk kediaman bersaiz kecil.

Namun, ia memerlukan penjagaan lebih rapi bagi mengelakkan kesan cap jari dan calar.

Bagi konsep moden atau industri, meja yang menggunakan gabungan logam dan kayu sering menjadi pilihan kerana menawarkan penampilan yang lebih kontemporari.

Utamakan keperluan sebenar

Dalam memilih meja, faktor paling penting ialah kesesuaiannya dengan gaya hidup penghuni.

Meja yang baik bukan semestinya paling mahal atau paling bergaya, sebaliknya mampu memenuhi keperluan harian, selesa digunakan dan sesuai dengan ruang yang ada.

Dengan perancangan yang teliti, pemilihan meja yang tepat bukan sahaja membantu memaksimumkan penggunaan ruang, malah menjadikan kediaman lebih kemas, praktikal dan menarik dipandang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top