
HONG KONG: Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong mempertahankan amalan mengehadkan pergerakan sesetengah bayi dan kanak-kanak dalam wad pengasingan Covid-19, susulan kritikan berhubung layanan keluarga di bawah langkah ketat anti-virus di bandar itu.
Walaupun menjadi salah sebuah bandar paling padat penduduk di dunia, Hong Kong berjaya mengekalkan kadar rendah jangkitan dengan merekodkan kira-kira 11,000 kes dan 200 kematian sejak pandemik itu bermula, susulan pelaksanaan beberapa langkah kuarantin paling ketat di dunia.
Sesiapa yang disahkan positif Covid-19 akan dibawa ke wad pengasingan, manakala mereka yang dianggap “kontak rapat” pula dihantar kem kuarantin mandatori kerajaan.
Langkah itu mampu membendung penularan jangkitan dan sudah dilaksanakan hampir setahun lalu, sebahagian besarnya tanpa aduan ketika kes tertumpu di kawasan berpendapatan rendah.
Tetapi, terdapat peningkatan reaksi negatif dalam beberapa minggu ini selepas penularan di kawasan penempatan golongan berkolar putih dan warga asing yang kaya – dan mempunyai hubungan politik.
Aduan termasuk ibu bapa dipisahkan daripada anak mereka, ibu diarah tidak menyusukan bayi dan ada bayi yang diikat di katil bagi menghalang mereka bergerak.
Tekanan itu disusuli satu siri kenyataan daripada pihak berkuasa kesihatan yang mempertahankan dasar mereka minggu ini, termasuk pelaksanaan mengekang pergerakan.
“Secara umumnya, hospital hanya akan mempertimbangkan penggunaan pengekangan fizikal ke atas pesakit kanak-kanak untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka,” kata Pihak Berkuasa Hospital dalam kenyataan pada lewat Rabu.
“Persetujuan sewajarnya akan diminta daripada ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu.”
Pihak Berkuasa Hospital berkata, pesakit yang didapati negatif dibenarkan menemani anak mereka yang dijangkiti virus itu di wad pengasingan, jika ada ruang.
Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam mengesahkan persetujuan khas sudah diberikan untuk membenarkan anak bersama ibu bapa dan bukannya menghantar mereka menjalani kuarantin bersendirian.
Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan ibu yang positif Covid-19 boleh terus menyusukan bayi mereka, tetapi Hong Kong masih mengarahkan ibu tidak menyusukan bayi di wad pengasingan.
Pihak berkuasa turut mempertahankan penggunaan kem kuarantin atas alasan pangsapuri sempit di Hong Kong terlalu kecil untuk ahli keluarga mengasingkan diri dengan selamat.
Mereka berkata, ibu bapa atau penjaga biasanya dibenarkan menemani anak bawah umur di kem kuarantin dan pegawai berusaha memenuhi keperluan keluarga di sana.




