BUDAYA memperlekehkan dan mempersendakan agama adalah amat jauh daripada akhlak Islam bahkan bertentangan dengan fitrah manusia yang cintakan kedamaian.
Ia bukanlah cara yang sihat untuk meluahkan pemikiran masing-masing kerana natijahnya hanya mengundang perbalahan dan perpecahan antara agama.
Namun, budaya ini semakin meluas dalam negara kita hanya kerana ingin menjadikan agama sebagai bahan jenaka tanpa menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling.
Allah S.W.T menempelak golongan yang mempersendakan agama dalam firman-Nya:
Advertisement
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
[al-Taubah: 65]
Ayat ini diturunkan sebelum berlaku peperangan Tabuk. Pada ketika itu terdapat dua orang munafik yang menghina al-Quran dan Rasulullah S.A.W manakala seorang lagi mentertawakannya.
Lalu Allah S.W.T menyampaikan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Baginda memanggil mereka bertiga lalu bertanya hal tersebut dan mereka menjawab sambil mengatakan perbuatan itu sekadar suatu gurauan atau permainan.
Dengan itu, Allah S.W.T menurunkan ayat ini menempelak perbuatan mereka. [Tafsir al-Qurtubi, 8/196].
Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
إنَّ الرَّجُلَ لَيتكلَّمُ بالكلمةِ ما يرى بها بأسًا يهوِي بها في النَّارِ سبعينَ خريفًا
“Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah tersebut), yang mana ianya boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka.”
[Riwayat al-Tirmizi (1618). Hadis Sahih]
Negara kita mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup komprehensif dalam menangani penghinaan terhadap agama Islam.
Namun, tidak dinafikan keperluan untuk mengkaji dari semasa ke semasa aspek hukuman yang dikenakan agar ia kekal relevan dan efektif.
Justeru, marilah kita menjadi lebih bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian beragama serta hidup bersama dalam kerangka fiqh ta’ayush (kebersamaan).
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 14/7/2022





