Selain kemelut rumah tangga bersama isteri pertamanya, pengarah tersohor, Syamsul Yusof juga berdepan masalah dengan beberapa selebriti termasuklah aktor hebat, Aaron Aziz.
Dalam sidang media tergempar yang diadakan baru-baru ini, Syamsul ada menyatakan mengapa nama Aaron terpaksa digugurkan dalam filem terbaru arahannya, Original Gangster.
Dia juga ‘memetik’ nama beberapa selebriti seperti Sharnaaz Ahmad dan juga Beto Kusyairy bagi menguatkan lagi alasan pihak produksi menggugurkan nama pelakon asal Singapura itu.
Selepas saling berbalah kenyataan, Sharnaaz Ahmad yang enggan mengeruhkan lagi keadaan berharap tidak perlu lagi pergaduhan ini berlarutan memandangkan kita semua sudah memasuki bulan Ramadan.
Ujar tonggak utama Original Gangster itu, dia dan pelakon yang lain tidak mahu menjadikan isu peribadi sebagai kekangan untuk mereka bekerja secara profesional. Dia juga akui sangat menghormati Syamsul sebagai seorang pengarah.

Tambah Sharnaaz lagi menerusi IG story, disebalik filem arahan Syamsul itu, ada ramai pelakon dan juga krew yang sedang berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga.
Tindakan sesetengah pihak yang bercadang mahu memboikot filem atas sebab masalah peribadi pengarah rasanya tidak wajar kerana ramai lagi yang berkorban untuk filem tersebut selain dari Syamsul.
“Anda kena ingat wahai sahabatku sayang, ramai lagi mulut dalam Original gagster perlu disuap, anak mereka, isteri mereka,”
“Jangan sebab amarah anda, dibunuh periuk nasi 60 orang lagi dibelakang tabir ini,” tulisnya.

Menutup penjelasan yang dibuat, Sharnaaz Ahmad berharap agar semua dapat mencerna apa yang berlaku dengan rasional. Dia juga percaya bahawa semua pihak sudah mulai bijak dalam ‘melayani’ masalah-masalah berkenaan industri seni dan selebriti merujuk kepada beberapa isu sebelum ini.
Dia juga kembali menegaskan bahawa apa yang ditulis dan dinyatakan adalah berkenaan filem Original Gangster tanpa mengaitkan isu-isu lain.

Sumber: Instagram Sharnaaz Ahmad




