London: Pengendali Newcastle United, Eddie Howe menegaskan skuadnya memerlukan impak lebih besar daripada penyerang rekod kelab, Nick Woltemade ketika The Magpies bergelut untuk menghidupkan semula kempen Liga Perdana Inggeris mereka.
Newcastle yang kini menghuni tangga ke-14 akan kembali beraksi menentang Manchester City, Ahad ini, dengan persembahan domestik yang jauh berbeza berbanding impak mereka di pentas Liga Juara-Juara.
Woltemade, 23, yang dibeli £69 juta (RM 374 juta) dari Stuttgart, memulakan kariernya di St James Park dengan cemerlang selepas meledak lima gol dalam lapan aksi awal.
Namun, rentaknya mula perlahan dengan hanya satu gol dalam enam perlawanan terakhir bersama kelab.
Bagaimanapun, penyerang Jerman itu kembali ‘panas’ apabila menjaringkan tiga gol untuk negaranya pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg dan Slovakia ketika rehat antarabangsa.
“Melihat kepada kurangnya masa latihan yang kami ada dengannya, saya rasa dia sudah buat dengan sangat baik. Dia cuba ikut apa yang kami mahukan,” kata Howe.
“Dia bermula dengan baik dari segi jaringan. Gol-gol sepanjang rehat antarabangsa itu juga beri dorongan besar untuk keyakinannya.
“Keyakinan adalah segalanya untuk seorang penyerang. Dia patut berpuas hati, tetapi kami tetap perlu tuntut lebih. Kami perlukan dia berikan lebih kerana dia tonggak utama serangan kami.”
Tekanan terhadap Woltemade bertambah selepas seorang lagi penyerang baharu, Yoane Wissa yang tiba dengan harga £55 juta (RM 299 juta), masih belum turun padang akibat kecederaan lutut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




