am@hmetro.com.my
Ipoh: Malaysia menunjukkan contoh terpuji dengan penghantaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 5 April biarpun menerima tempias ekonomi susulan krisis di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan yang dianggap sebagai sedekah jariah dengan hasrat mengatasi kebuluran selain menghantar ubat-ubatan itu tetap diberikan biarpun Malaysia juga ketika ini menerima tempias kesusahan.
Katanya, peranan yang dimainkan beliau adalah menelefon Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bagi membuka laluan untuk membolehkan 30 kontena barang makanan dan ubat-ubatan dibawa ke Gaza.
“Ada orang dok main (isu) oh Anwar ini telefon saja… Kalau tak telefon tak boleh kita lepas untuk ke Rafah.
“Saya kena telefon Presiden Abdel Fatah el-Sisi yang anggap kita sahabat, minta tolong buka laluan untuk 30 kontena itu.
“Orang sana kebuluran, masih kita tolong. Maknanya dalam kita susah pun kita cuba bantu orang yang lebih susah daripada kita.
“Semangat ini harus ada memandangkan ia adalah sedekah jariah,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra MADANI Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Semalam, akhbar melaporkan Amirudin akan mewakili Anwar untuk mengetuai Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), membabitkan sebanyak 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membela nasib warga Palestin di Gaza.
Dalam pada itu, Anwar berkata selain pendekatan berjimat cermat yang diambil kerajaan dalam menghadapi impak krisis Asia Barat, beliau tetap tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun sejak tiga tahun lalu memandangkan ekonomi negara masih dalam proses dipulihkan.
“Gaji Perdana Menteri, Ahli Parlimen Tambun ini sudah tiga tahun saya tak ambil.
“Saya fikir kalau ekonomi sudah baik maka saya hendak ambillah balik sebab orang lain semua dapat gaji tetapi ekonomi tak elok pula sekarang.
“Tak mengapa saya tak miskin kerana saya datang ke sini dengan kapal terbang dan kereta kerajaan, jadi saya tak susah namun saya kena bagi tahu kawan-kawan saya supaya berjimat,” katanya.
Anwar bagaimanapun berkata, pendiriannya dengan tidak mengambil gaji Perdana Menteri serta ahli Parlimen bukanlah satu ketetapan yang harus diikuti pemimpin kerajaan lain seperti Menteri Besar.
Ini kerana, ia adalah hak masing-masing, selagi mana perkara haram seperti mencuri kekayaan atau rasuah dihindari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




