Ratusan redah hujan hadir pengebumian mangsa tragedi pelantar Sepat

Ratusan redah hujan hadir pengebumian mangsa tragedi pelantar Sepat

am@hmetro.com.my

Kuantan: Ratusan orang berpayung bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua rakan sekerja yang terkorban dalam kes pelantar luar pesisir di perairan Terengganu-Kelantan semalam, di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini hari ini.

Mangsa, Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37, dan Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dikebumikan di lot berasingan di tanah perkuburan berkenaan.

Awan mendung mula menyelubungi ibu negeri ini kira-kira jam 4 petang sebelum hujan lebat disertai angin kencang melanda sekitar 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, hujan mula reda ketika puluhan orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sekerja memasuki kawasan tanah perkuburan sejurus jenazah Nik Muhammad Hafifi tiba pada jam 5.30 petang.

Nik Muhammad Hafifi selamat dikebumikan kira-kira 15 minit kemudian, diikuti Faezuan Hakim sekitar jam 6.15 petang.

Terdahulu, solat jenazah Nik Muhammad Hafifi diadakan di Masjid Imam Ash-Shafie di KotaSAS, di sini, selepas jenazahnya dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu, selesai menjalani proses bedah siasat awal hari ini.

Solat jenazah Faezuan Hakim pula diadakan di Masjid Cenderawasih sebelum jenazahnya tiba dengan van jenazah di Tanah Perkuburan Islam Setali kira-kira jam 5.40 petang.

Walaupun hujan, mereka yang hadir termasuk sebahagiannya datang dari luar negeri, sabar menunggu sehingga proses pengebumian selesai bagi memberi penghormatan terakhir.

Dalam kemalangan jam 12.50 tengah hari di pelantar luar pesisir semalam, Nik Muhammad Hafifi bersama Faezuan Hakim dan Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka, berada di dalam sebuah bot penyelamat sebelum ia terjunam ke laut.

Mangsa keempat, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan di HSNZ.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan kemalangan pelantar luar pesisir itu sebagai serius dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top