mhafis@mediaprima.com.my
Puchong: Tiga kereta rosak selepas dihempap pokok tumbang dalam dua kejadian di sekitar Puchong hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian pertama berlaku di Kompleks Suria Kinrara Seksyen 3 pada jam 3.05 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bergegas ke lokasi dan tiba sembilan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang menghempap dua kenderaan iaitu Toyota Harrier dan Perodua Myvi.
“Tiada mangsa terbabit dan pokok berjaya dialihkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi dikawal pada jam 3.25 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 3.43 petang membabitkan lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Dalam kejadian kedua di Jalan Helang 15, Bandar Puchong Jaya pada jam 3.53 petang, dua batang pokok dilaporkan tumbang dan menghempap sebuah Ford Ranger.
“Operasi dijalankan oleh anggota dari BBP Seri Kembangan,” katanya.
Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kerja mengalihkan pokok sedang dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




