am@hmetro.com.my
PENYAMPAI Hot FM, Fara Fauzana memuji keberanian AG atau Muhammad Azmeer Selamat yang berjaya mengatasi ketakutannya sepanjang cabaran menakluk Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Menurut Fara, dia sendiri menyaksikan AG berada dalam keadaan takut sejak awal lagi sehingga beberapa kali dilihat seperti mahu menarik diri daripada cabaran berkenaan.
“Dari awal lagi AG memang takut dan macam nak tarik diri. Tapi sebagai kawan saya nampak dia cuba lawan perasaan itu.
“Muka dia memang dah pucat, tapi bila dia berjaya juga buat cabaran itu saya rasa dia memang hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Fara turut berkongsi ibunya pada awalnya tidak mengizinkan dia menyertai cabaran itu kerana terlalu risau dengan faktor keselamatan.
“Emak saya memang risau sebab dia dengar macam-macam cerita. Dia banyak kali tanya saya naik di luar atau dalam bangunan.
“Saya siap buat panggilan video untuk yakinkan dia semuanya selamat,” kata selepas berjaya menyelesaikan misi “Takluk Merdeka 118” bersama barisan penyampai Bekpes Hot. Selain Fara dan AG misi berkenaan turut disertai Khairy Jamaluddin (KJ) dan Johan.
Misi berkenaan mendapat kejayaan pengiktirafan Asia Records dan ASEAN Records menerusi kategori ‘Highest Continuous Live Radio Broadcast from the World’s Second Tallest Building’ (Siaran Langsung Radio berterusan Tertinggi dari Bangunan Kedua Tertinggi di Dunia).
Hadir sama memeriahkan program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad, Datuk Izwan Ibrahim; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Rafiq Mat Razali; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Rosli Sabarudin; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran dan Ketua Pegawai Operasi (Direct Solutions) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Sementara itu, Penerbit segmen Bekpes Hot, Nurul Fazlyana Mohamad Razuan berkata, idea misi berkenaan tercetus sebagai kesinambungan kepada beberapa cabaran ekstrem yang pernah dilakukan stesen radio itu sebelum ini.
Katanya, selepas berjaya mengadakan siaran di Gunung Kinabalu dan melakukan aktiviti skuba, mereka mahu meneroka cabaran baharu yang lebih ekstrem di udara.
“Kalau sebelum ini kita dah buat di darat dan air, jadi Merdeka 118 ini kita anggap sebagai cabaran udara pula.
“Kita sebenarnya pernah merancang untuk buat siaran dari kapal terbang juga, tapi masih dalam perancangan,” katanya.
Menurutnya, idea awal cabaran itu tercetus daripada KJ yang mahu membawa konsep siaran radio keluar daripada kebiasaan di dalam konti.
“Dia nampak satu video bangunan yang ada puncak dan terus cakap, ‘Why not’ kita ‘on air’ dekat situ?’
“Daripada situlah kami mula hubungi pihak Merdeka 118,” katanya.
Nurul Fazlyana berkata, pihak pengurusan Merdeka 118 juga memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang proses merealisasikan misi berkenaan.
Katanya, segala urusan termasuk lawatan tapak dan perbincangan teknikal berjalan lancar sebelum cabaran itu dilaksanakan.
“Berbanding cabaran sebelum ini seperti skuba yang perlukan latihan dan lesen, kali ini lebih kepada cabaran mental.
“Walaupun nampak macam naik tangga saja, sebenarnya bila berada di atas sana dan dalam struktur besi itu, mental memang kena kuat,” katanya.
Menurutnya, AG adalah individu yang paling bergelut dengan ketakutan sepanjang persiapan dilakukan termasuk ketika sesi lawatan tapak sebelum cabaran sebenar berlangsung.
“Waktu kami pergi tinjau lokasi sebelum ini pun memang nampak dia takut.
“Bila sampai kawasan terbuka dekat solar itu, dia dah mula jalan sambil terduduk sebab terlalu gayat,” katanya.
Tambahnya, walaupun berdepan ketakutan, AG akhirnya tetap berjaya menamatkan cabaran berkenaan bersama pasukan Bekpes Hot.
Nurul Fazlyana berkata, pihaknya berharap lebih banyak aktiviti luar kotak dapat dilakukan selepas ini sebagai usaha memberi pengalaman baharu kepada pendengar.
Katanya, antara aktiviti ekstrem yang menjadi impian mereka selepas ini adalah ‘skydiving’.
Menurutnya lagi, semua cabaran dilakukan bukan semata-mata untuk hiburan, tetapi turut membawa mesej inspirasi kepada pendengar supaya berani mencabar diri sendiri.
“Kita nak tunjuk radio bukan sekadar orang dengar dalam konti saja.
“Kita juga nak beri inspirasi kepada orang supaya berani lawan ketakutan dan cabar diri sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




