saufi@mediaprima.com.my
PENIPUAN e-dagang muncul sebagai kategori penipuan yang paling banyak dilaporkan di negara pada tahun ini dengan 2,566 laporan polis direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama 2026.
Berdasarkan data daripada Pusat Respons Penipuan Nasional (NSRC), angka itu hanya dalam masa empat bulan bermakna purata hampir 20 kes sehari. Situasi ini berlaku dalam keadaan rakyat Malaysia semakin bergantung kepada platform digital untuk urusan membeli-belah.
Lebih 65 peratus daripada jumlah transaksi e-dagang berlaku melalui telefon mudah alih dan pengguna Malaysia diketahui membandingkan harga di pelbagai platform sebelum membuat sebarang pembelian.
Tambahan pula, baki skim pinjaman ‘guna dulu, bayar kemudian’ (BNPL) di negara ini mencecah RM4.9 bilion setakat 31 Disember 2025 dengan 7.5 juta pengguna dan nisbah tunggakan sekitar 3.3 peratus.
Kemudahan berbelanja dalam talian memang tidak boleh dinafikan, namun kesedaran digital yang rendah menjadikan ramai pengguna mudah terdedah kepada risiko.
1. Gunakan platform e-dagang yang diiktiraf
Buat pembayaran melalui platform beli-belah dalam talian yang bereputasi dan hanya gunakan sumber serta platform dalam talian yang selamat dan paling dipercayai.
Platform yang dipercayai mempunyai sistem perlindungan pembeli yang lebih tersusun berbanding pembelian terus melalui media sosial.
2. Harga terlalu murah, tanda bahaya pertama
Jangan terpedaya dengan tawaran harga rendah atau harga yang kelihatan terlalu bagus untuk dipercayai.
Penipu sering menggunakan harga yang jauh di bawah pasaran sebagai umpan untuk menarik mangsa, terutama semasa musim jualan besar seperti 11.11 atau 12.12.
3. Semak ulasan dan profil penjual
Sebelum berurusan, baca testimoni dan ulasan pada profil penjual. Penjual yang sah biasanya mempunyai rekod transaksi yang banyak, penilaian bintang yang konsisten, dan respons yang aktif terhadap pertanyaan pembeli.
4. Guna portal SEMAKMULE sebelum bayar
Gunakan portal PDRM CCID ‘Semakmule’ di laman semakmule.rmp.gov.my untuk menyemak nombor telefon dan nombor akaun bank penjual bagi mengenal pasti sama ada ia dikaitkan dengan kes penipuan.
Langkah mudah ini boleh menyelamatkan anda daripada kerugian sebelum sebarang wang dipindahkan.
5. Elak bayar terus ke akaun peribadi penjual
Pembayaran yang dilakukan di luar sistem platform rasmi menghilangkan perlindungan pembeli.
Sekiranya penjual meminta pembayaran terus ke akaun peribadi atas alasan diskaun tambahan atau stok terhad, ia adalah tanda amaran yang jelas bahawa transaksi berkenaan berisiko tinggi.
6. Lindungi maklumat kad kredit semasa transaksi
Aplikasi mudah alih meminta akses kepada ciri peranti semasa pemasangan atau penggunaan pertama.
Kebanyakan pengguna pula mengetik ‘Benarkan’ tanpa membaca dan kebenaran berlebihan ini mewujudkan pelbagai risiko kerana aplikasi boleh mengumpul lebih banyak data daripada yang diperlukan.
Pastikan anda hanya masukkan butiran kad pada laman web atau aplikasi yang memaparkan ikon kunci (https) di bar alamat.
7. Fahami risiko BNPL sebelum guna
Pengguna BNPL Malaysia mungkin terpaksa membayar lebih dalam bentuk faedah atau denda sekiranya tidak menjelaskan baki mengikut jadual.
Selain itu, sejak Akta Kredit Pengguna 2025 berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, pembayaran BNPL yang lewat kini dilaporkan terus kepada biro kredit yang boleh menjejaskan skor kredit pengguna pada masa hadapan.
8. Jangan klik pautan promosi yang mencurigakan
Penjenayah siber sering menggunakan emel dan mesej phishing untuk menipu pengguna supaya berkongsi maklumat peribadi mesej ini mungkin kelihatan sah dan meminta anda mengklik pautan atau memuat turun lampiran.
Sebarang pautan promosi yang diterima melalui WhatsApp, SMS, atau emel perlu disahkan dahulu melalui laman web rasmi jenama berkenaan.
9. Kemaskini aplikasi dan sistem operasi telefon secara berkala
Kemaskini perisian bukan sekadar tentang ciri baharu, ia turut mengandungi tampalan keselamatan yang membetulkan kelemahan dalam sistem operasi dan aplikasi.
Telefon yang tidak dikemaskini lebih mudah dieksploitasi oleh perisian hasad yang direka untuk mencuri maklumat pembayaran.
10. Laporkan segera jika ditipu
Sekiranya anda disyaki telah ditipu, hubungi bank anda dengan segera.
Minta akaun atau kad anda ditangguhkan bagi mengelakkan transaksi tidak sah, kemudian buat laporan polis dan simpan semua rekod termasuk slip bank, slip deposit, serta sebarang perbualan dengan penjual.
© New Straits Times Press (M) Bhd




