Hubungan dengan Bersatu: Pas adakan mesyuarat sehari dua lagi – Takiyuddin

Hubungan dengan Bersatu: Pas adakan mesyuarat sehari dua lagi – Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Pas akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskan ketetapan berkaitan hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kepimpinan parti akan terlebih dahulu mencapai keputusan dalaman sebelum merujuknya kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan mesyuarat dalam masa terdekat, kemudian buat keputusan. Ia akan dilakukan dalam satu atau dua hari lagi, sebelum raya (Aidiladha).

“Sama ada mesyuarat kita (Pas) dahulu, kemudian (dengan) Bersatu, kita tengok. (Mungkin) Mesyuarat dengan Pas dahulu,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Sabtu.

Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, ketetapan tersebut susulan siri tindakan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan kurang menyenangkan.

Rentetan itu juga, Pas mengarahkan semua pimpinan dan ahli supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan semasa melibatkan pihak lain dengan parti itu tanpa kebenaran khas.

 

 

Scroll to Top