'Hubungan saya, YB Helmy, YB Dira dengan Ketua Menteri sangat baik, itulah ketua kami' – Akmal

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan hubungannya dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada dalam keadaan sangat baik, selain menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang perlu dihormati.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, hubungan mereka serta dua lagi wakil rakyat yang sering mendapat perhatian iaitu ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, juga kekal baik.

“Hubungan kami tiga YB dengan Ketua Menteri sangat-sangat baik.

“Insya-Allah. Itulah ketua kami dan ketaatan serta kesetiaan kami kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba menimbulkan persepsi seolah-olah wujud perpecahan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu dengan tiga ADUN berkenaan.

Beliau ditemui pada program Jelajah DUN yang diketuai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Alor Gajah dan Jasin hari ini.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, situasi yang cuba menimbulkan persepsi negatif sering berlaku dalam satu pasukan yang kukuh dan mantap terutama hubungan politik.

“Orang memang akan suka tengok kita berpecah, biasalah (keadaan) itu tapi sejujurnya, hubungan kami sangat baik,” katanya.

Sebelum ini, tular satu hantaran menerusi sebuah akaun yang berkongsi poster memaparkan Akmal, Helmy dan Khaidhirah sebagai individu yang menaikkan UMNO Melaka, bukannya Ab Rauf.

Mengulas perkara sama, Mohd Noor Helmy sebelum ini meluahkan rasa kurang senang terhadap pihak yang didakwa cuba menimbulkan kebencian terhadap kepimpinan Ab Rauf.

Beliau meminta pihak terbabit menghentikan perbandingan berkenaan sambil menegaskan kepimpinan UMNO Melaka kekal utuh menyokong Ab Rauf.

“Tak kisahlah apa niat sekalipun, hentikan, kerana kepimpinan UMNO Melaka solid di belakang Ab Rauf,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top