Hujan lebat, angin kencang di musim sejuk jadi mimpi ngeri penduduk Gaza

Hujan lebat, angin kencang di musim sejuk jadi mimpi ngeri penduduk Gaza

PETALING JAYA: Hujan lebat dan angin kencang sejak beberapa hari lalu menjadikan musim sejuk kali ini sebagai satu lagi mimpi ngeri buat kira-kira dua juta penduduk Semenanjung Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shamalah berkata, keadaan cuaca buruk itu memburukkan lagi penderitaan penduduk Gaza yang kini terpaksa berlindung di dalam khemah sementara yang kebanyakannya sudah koyak dan rosak.

Katanya, hujan lebat bukan sahaja menyebabkan keadaan tempat perlindungan mereka semakin teruk, malah mengundang kesengsaraan dan kerugian besar kepada golongan yang sudah kehilangan hampir segala-galanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan itu amat membimbangkan memandangkan penduduk Gaza kini berdepan cabaran musim sejuk tanpa kemudahan perlindungan yang sempurna untuk melindungi mereka daripada hujan, angin kencang dan suhu yang semakin rendah.

“Malangnya, hujan yang turun menjadi satu mimpi ngeri yang amat menakutkan dan membawa penderitaan serta kerugian besar kepada golongan yang kehilangan tempat tinggal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, situasi berkenaan turut memperlihatkan kegagalan masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang menjadi penjamin perjanjian gencatan senjata dalam memastikan keperluan asas penduduk Gaza dipenuhi.

Katanya, sehingga kini kemasukan rumah sementara atau rumah mudah alih masih belum dapat dipastikan, termasuk bahan-bahan asas yang diperlukan bagi memulakan usaha pembinaan semula Gaza.

“Lebih mengecewakan, kegagalan itu terus berterusan meskipun sudah lebih setahun sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa, sekali gus menyebabkan penduduk terus terperangkap dalam keadaan kehidupan yang serba kekurangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Gaza amat memerlukan usaha bantuan kemanusiaan secara besar-besaran dan bersungguh-sungguh bagi menyediakan perlindungan, keperluan asas serta bantuan segera kepada penduduk yang terjejas.

“Rakyat Gaza memerlukan sokongan dan bantuan kemanusiaan yang segera bagi menghadapi musim sejuk yang amat mencabar ini, khususnya mereka yang masih tinggal di khemah-khemah sementara dalam keadaan serba kekurangan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top