Nahas maut dua pesara polis, wanita dibebas dengan jaminan

Nahas maut dua pesara polis, wanita dibebas dengan jaminan

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri pesara polis di Kilometer 114.4, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) semalam, kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan wanita terbabit yang ditahan malam tadi dibebaskan selepas keterangannya diambil.

“Wanita itu ditahan malam tadi dan pagi hari ini diberi jamin polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Hanyan enggan mengulas lanjut sama ada wanita itu adalah pemandu atau penumpang ketika kejadian.

“Semuanya masih dalam siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pesara polis dan isterinya maut dalam kemalangan berhampiran kawasan Tikam Batu menghala ke utara membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal, semalam.

Dalam kejadian itu, Suhaimi Saidin, 64, dan isterinya, Normah Hashim, 60, dari Taman Bandar Utama, Sungai Lalang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top