am@hmetro.com.my
Alor Setar: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan dua sungai di dua daerah di negeri ini sudah melepasi paras bahaya setakat jam 10.30 malam ini.
Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir melaporkan, dua sungai terbabit adalah Sungai Nawa di Kampung Pokok Sena Lama di daerah Pokok Sena dan Sungai Chepir di Titi Pekan Sik di daerah Sik.
Sungai Nawa sudah melepasi tahap bahaya 11.12 meter berbanding 10.39 meter manakala Sungai Chepir melepasi tahap bahaya 37.01 meter berbanding 36.55 meter.
Kedua-dua sungai berkenaan menunjukkan trend menaik.
Setakat ini, Sungai Serdang di Kampung Majidee Tengah di daerah Bandar Baharu pula sudah melepasi tahap amaran.
Bagaimanapun, dua sungai lagi iaitu Sungai Muda di Ampang Jajar di daerah Kota Setar dan Sungai Bata di daerah Kubang Pasu masing-masing sudah melepasi tahap waspada dan menunjukkan trend menaik.
Setakat ini beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena dilanda banjir kilat.
Difahamkan, laluan dari Pokok Sena menghala ke Alor Setar dan Kuala Nerang ditutup sementara susulan banjir kilat yang melanda menyebabkan berlaku kesesakan.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, setakat ini Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena sudah membuka bilik gerakan berikutan banjir kilat yang berlaku hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah.
Media sebelum ini melaporkan, daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda sejak petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




