mdroji@bh.com.my
Kuching : Hujan lebat tidak menjejaskan kemeriahan sambutan ambang tahun baharu 2025 di Tebingan Kuching, di sini, malam ini.
Lebih 10,000 pengunjung memenuhi tapak sambutan yang diadakan dalam tiga segmen bermula seawal jam 8 pagi hingga jam 6 petang menampilkan gabungan aktiviti kesenian, budaya dan hiburan.
Acara penuh warna warni itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) berterusan untuk segmen kedua yang bermula jam 6.45 petang hingga 8.20 malam di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching, menampilkan muzik instrumental dan persembahan buskers tempatan.
Segmen ketiga yang bermula jam 8.30 malam dimeriahkan persembahan nyanyian daripada artis tempatan dan luar negara termasuk penyanyi antarabangsa kelahiran Sarawak, Zee Avi serta penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Turut hadir memeriahkan sambutan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta menteri kabinet Persekutuan dan negeri.
Abang Johari dalam perutusan tahun baharu yang disiarkan menerusi rakaman video pada acara itu berkata, Sarawak berbangga dengan pencapaian sepanjang tahun 2024, hasil kerjasama, perpaduan dan usaha gigih seluruh lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tahun 2025 adalah peluang untuk melangkah dengan semangat baharu, azam yang lebih kukuh, dan cita-cita yang lebih besar demi kemajuan Bumi Kenyalang.
“Pada tahun 2025, marilah kita terus bertekad untuk memajukan Sarawak ke arah wilayah yang makmur, sejahtera, dan inklusif.
“Dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, saya yakin Sarawak mampu membangun melalui dasar yang mampan dan lestari,” katanya.
Abang Johari berkata, 2025 juga adalah tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilaksanakan dan berharap usaha melaksanakan projek di Sarawak dapat dipertingkatkan tahun ini.
“Saya amat berharap usaha untuk melaksanakan projek RMK-12 di Sarawak dapat dipertingkatkan agar semua projek yang telah disenaraikan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat, khususnya projek-projek fizikal,” katanya.
Selain itu katanya, kajian separuh penggal Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) akan diadakan pada 2025 bagi menilai kejayaan pelaksanaan program dan projek.
“Saya yakin semua projek infrastruktur, projek bekalan air, program menaik taraf sambungan internet dan program kebajikan sosial yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak sendiri akan diteruskan dengan jayanya menjelang 2030.
“Projek berimpak tinggi juga sedang dirancang termasuk pembinaan pelabuhan laut dalam baharu dan lapangan terbang antarabangsa di Kuching,” katanya.
Dalam memastikan keterjaminan makanan katanya, Sarawak akan melaksanakan sektor pertanian moden yang akan didorong oleh penggunaan teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




