Hujan rencatkan perlawanan Red Bull Salzburg, CF Pachuca

Hujan rencatkan perlawanan Red Bull Salzburg, CF Pachuca

Miami: Perlawanan Kumpulan H antara FC Red Bull Salzburg dan CF Pachuca di Ohio terpaksa dihentikan seketika akibat cuaca buruk pada minit ke-54, ketika Salzburg mendahului 1-0, awal pagi Khamis.

Jaringan tunggal Oscar Gloukh pada minit ke-42 hasil rembatan dari luar kotak penalti sudah cukup untuk meletakkan wakil Austria itu di depan, meskipun wakil Mexico memulakan perlawanan dengan lebih garang.

Penjaga gol Salzburg, Christian Zawieschitzky menjadi watak penting dalam aksi sulungnya bersama skuad utama apabila melakukan empat penyelamatan cemerlang termasuk menafikan beberapa percubaan berbahaya dari pemain Pachuca.

Gol Gloukh berpunca daripada lorongan Valentin Sulzbacher di sebelah kiri kotak penalti, sebelum pemain muda itu memotong bola ke kanan melepasi jangkaan Pedro Pedraza dan merembat deras menewaskan Carlos Moreno ke penjuru kanan.

Sebelum jaringan pendahuluan itu, Zawieschitzky menyelamatkan dua percubaan Salomon Rondon dan satu lagi daripada Elias Montiel bagi memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.

Dua minit selepas babak kedua bersambung, Zawieschitzky terus cemerlang apabila menafikan rembatan Alexei Domínguez sebelum sekali lagi menggagalkan cubaan Rondon selepas penyerang veteran Venezuela itu menyambut hantaran awal Kenedy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top