Jumlah pinjaman ‘buy now, pay later’ (BNPL) di negara sehingga 30 Jun lalu sudah mencecah RM38 bilion dengan tunggakan sebanyak RM121.8 juta.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi separuh pertama tahun ini sahaja, BNPL mencatatkan nilai RM9.3 bilion melibatkan 102.6 juta transaksi.
Jelasnya, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tempoh enam bulan sebelumnya.
“Tunggakan pula RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
“Bagi separuh pertama tahun ini sahaja, BNPL mencatat 102.6 juta transaksi bernilai RM9.3 bilion.
“Peningkatan 31 peratus berbanding tempoh enam bulan sebelumnya,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang mengklasifikasikan sebahagian skim BNPL sebagai kredit berisiko sosial.
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan kerajaan akan mempertimbangkan kawalan ke atas produk kewangan itu jika ia menjejaskan kesejahteraan pengguna.
Amir Hamzah sewaktu menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH–Bentong) berkenaan kadar faedah melampau dan caj penalti berkata, kawal selia industri BNPL akan diperketatkan.
Tegasnya, kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam hutang tidak terkawal.
Jelas beliau, ia melibatkan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) dan Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025 yang bakal dikuatkuasakan.
“Suruhanjaya Kredit Pengguna akan diberi kuasa untuk menguatkuasakan pelbagai tindakan ke atas penyedia BNPL yang melanggar peraturan,” tegasnya.