Hyundai Motor Malaysia perkenal Staria, Tucson baharu, Santa FE

Hyundai Motor Malaysia perkenal Staria, Tucson baharu, Santa FE

HYUNDAI Motor Malaysia (HMY), sebuah entiti baharu yang ditubuhkan di bawah Hyundai Motor Company (HMC) memperkenalkan tiga model utamanya Staria, Tucson terbaharu dan Santa FE di Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, pelancaran berkenaan menandakan permulaan lembaran baru buat jenama itu di Malaysia.

“Ia menampilkan barisan produk yang dibentuk seiring dengan permintaan tempatan yang menginginkan kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk keluarga, kenderaan utiliti sukan (SUV) serba boleh serta model sarat ciri canggih, direka untuk gaya hidup moden Malaysia.

“Staria, Tucson dan Santa FE yang kami perkenalkan mencerminkan gaya hidup rakyat negara ini. Keluaran baharu ini memenuhi keperluan keluarga masa kini terhadap pergerakan dengan keselesaan dan teknologi terkini,” katanya.

Jelasnya, setiap model dipilih untuk menawarkan lebih banyak ruang, teknologi pintar serta pengalaman pemanduan lebih selamat, sejajar keperluan harian pemandu di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden Hyundai Motor Asia Pasifik, Sunny Kim berkata, barisan produk dinamik tersebut membuktikan komitmen mereka untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti inovatif yang menekankan keperluan pelanggan tempatan.

“Ketika Malaysia terus berkembang dari segi kepentingan strategik dalam visi serantau kami, pelancaran Hyundai Motor Malaysia menjadi satu langkah penting mengukuhkan kehadiran kami di seluruh ASEAN,” ujarnya.

Hyundai Staria hadir dengan reka bentuk seakan kapal angkasa dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Style dan Prime (10 tempat duduk) serta Prestige (tujuh dan 10 tempat duduk).

Model berkenaan berharga dari RM179,888 menggabungkan gaya berani dan futuristik dengan teknologi keselamatan maju serta reka bentuk dalaman yang teliti.

Hyundai Tucson baharu pula merupakan model yang telah direka semula sepenuhnya daripada antara kenderaan paling laris Hyundai di Australia.

Model tersebut turut memperkenalkan varian hibrid buat pertama kali di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM143,888.

Sementara itu, Santa FE tampil dengan reka bentuk teguh, moden dan fleksibiliti terbaik dalam kelas SUV.

Santa FE serba baharu yang ditawarkan dari RM225,000 tersedia dalam konfigurasi enam dan tujuh tempat duduk, memenuhi keperluan keluarga tempatan yang mencari ruang boleh ubah, ciri premium dan tahap keselamatan tinggi sebagai teman utama dalam pemanduan harian.

 

 

Scroll to Top