JENAMA runcit khusus untuk permainan di bawah Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad iaitu MR. TOY melancarkan kedai konsep serba baharu yang penuh dengan imaginasi di pusat beli-belah MyTOWN di sini pada Khamis.
Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, ia mengekalkan nilai teras melalui permainan berkualiti tinggi pada harga berpatutan sambil memperkenalkan susun atur serta gaya yang lebih menarik dan menyeronokkan.
Menurutnya, konsep tersebut direka untuk menggembirakan kanak-kanak, ibu bapa serta peminat permainan dari semua peringkat usia.
“Zon bertema turut diperkenalkan bagi mencetuskan imaginasi serta menjadikan pengalaman membeli-belah lebih intuitif dan mengujakan.
“Pengunjung boleh menikmati pelbagai pilihan produk menarik seperti figura koleksi, anak patung gebu, robot, kereta kawalan jauh, kotak kejutan misteri serta kelengkapan parti merangkumi pelbagai kategori permainan untuk memenuhi citarasa semua lapisan pelanggan.
“Dengan rekaan dalaman yang baharu, pelanggan kini dapat mencari hadiah atau permainan kegemaran dengan lebih mudah dan menyeronokkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan rasmi MR. TOY di pusat beli-belah berkenaan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli permainan sempena pembukaan rasmi MR. TOY di pusat beli-belah MyTOWN pada Khamis.
Hadir sama, Penyelia, Pengurusan Runcit, Norfarahana Daud; Ketua Pembangunan Perniagaan, Apple Lim; Pengurus Besar, Strategi Perdagangan, Strategi Kumpulan, Chew Wei Nee dan Pengurus Kawasan, Pengurusan Runcit, Muhamad Nor Mat Khir.
Mengulas lanjut, Alex berkata, pihaknya turut mengiktiraf bahawa minat terhadap permainan tidak mengenal usia dengan meraikan ‘kidult’ iaitu golongan dewasa yang meminati permainan, pengumpul koleksi dan pencinta nostalgia
“Versi baharu MR. TOY ini bukan sekadar sebuah kedai permainan tetapi ruang di mana imaginasi menjadi nyata. Sama ada kanak-kanak, ibu bapa, atau sekadar berjiwa muda, kami telah mencipta ruang yang menyeronokkan, menginspirasikan dan penuh kejutan.
“Ia mencetuskan kegembiraan, merangsang kreativiti, dan mencipta kenangan dengan semuanya pada harga berpatutan yang sentiasa kami tawarkan kepada pelanggan,” ujarnya.
Tambah Alex, sempena pembukaan kedai konsep itu, MR. TOY turut menganjurkan acara pembukaan istimewa selama empat hari bermula 3 hingga 6 Julai ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik.
Ujarnya, antaranya, pelanggan berpeluang menjadi CEO kehormat MR. TOY dengan hanya mengambil gambar dan berkongsi di media sosial menerusi aktiviti Misi CEO Mini.
“Pelanggan yang membuat pembelian juga dapat menikmati aiskrim atau gula-gula kapas secara percuma melalui Sudut Yum Yum.
“Malah, dengan perbelanjaan minimum RM50, pelanggan akan menerima patung ikan lumba-lumba boleh ditiup serta beg jerut eksklusif manakala bagi aktiviti Tarik dan Menang, pelanggan yang berbelanja RM50 ke atas boleh mendapatkan lolipop dengan hadiah tersembunyi.
“Selain itu, pelanggan yang membelanjakan RM100 ke atas pula boleh menyertai aktiviti membuat patung dino sendiri menerusi Patung Gebu Dino DIY,” ulasnya.
Dalam pada itu, Alex berkata, kini dengan 59 cawangan di seluruh negara, MR. TOY terus menjadi antara tonggak utama dalam rangkaian jenama runcit di bawah Kumpulan MR D.I.Y., bersama MR. D.I.Y., MR. DOLLAR, MR. D.I.Y. Express, MR. D.I.Y. PLUS dan EMTOP.