nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka simptom biasa kuat berdengkur dialami Farizul Hadif Hairil, 27, semasa tidur menjadi petanda dia menghidap ‘sleep apnea’ iaitu gangguan tidur berbahaya.
Sleep apnea adalah gangguan tidur berbahaya dengan pernafasan terhenti seketika berulang kali akibat saluran pernafasan yang sempit atau tersumbat.
Farizul berkata, dia mula menyedari mengalami masalah itu selepas ibunya, Fazilah Abdul Rahim, 51, merakam videonya ketika tidur pada 2024.
“Sejujurnya, saya tidak sedar ada masalah itu sehingga ibu dan isteri saya, Zarith Lya Riana Zafrul Isham, 27, menunjukkan video saya sedang tidur.
“Saya rasa terkejut dan takut melihat keadaan diri sendiri dalam video itu,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia ada mengalami beberapa simptom biasa yang tidak disangka petanda awal kepada masalah sleep apnea dialaminya.
“Setiap kali bangun pagi, saya pening kepala dan kerap migrain. Saya selalu rasa tak cukup tidur.
“Walaupun sudah tidur tujuh hingga lapan jam, badan masih rasa penat dan mengantuk.
“Badan juga lesu sepanjang hari hingga menyebabkan saya boleh tertidur pada bila-bila masa termasuk ketika bermain telefon.
“Saya pernah mengalami ‘micro sleep’ (tidur seketika) semasa memandu sehingga terbabit kemalangan.
“Selain itu, saya kerap membuang air kencing ketika tidur malam sehingga pernah terkencing ketika tidur.
“Saya juga kerap meracau dalam keadaan tidak sedar,” katanya.
Beliau yang juga seorang jurutera sistem pelayan kemudian pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT).
Katanya, pakar mencadangkan untuk dia menjalani ujian tidur bagi memeriksa tahap sleep apnea dialaminya.
“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati skor saya agak tinggi. Saya turut menjalani beberapa lagi pemeriksaan, namun tiada tonsil mahupun sinus ditemui.
“Doktor mencadangkan saya supaya menurunkan berat badan, berhenti merokok serta menggunakan mesin CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) iaitu peranti perubatan yang membekalkan aliran udara bertekanan secara berterusan,” katanya.
Katanya, dia pernah mencuba pelbagai jenis produk berkaitan dengkur, namun ia tidak berkesan.
“Malah, saya cuba untuk menurunkan berat badan dan berhenti merokok. Langkah akhir saya lakukan adalah menggunakan mesin CPAP yang dibeli di platform e-dagang kerana lebih murah.
“Beberapa bulan selepas disahkan menghidap sleep apnea, saya dapat beli mesin itu dengan harga bawah RM2,000,” katanya.
Menurutnya, dia membuat perkongsian mengenai kisahnya itu di media sosial bagi mewujudkan kesedaran serta membuat pendedahan mengenai sleep apnea.
“Saya tahu masih ramai orang yang tidak tahu mengenai penyakit ini kerana beranggapan bahawa dengkur adalah perkara biasa.
“Kita dibiasakan dengan kata-kata orang tua bahawa dengkur adalah petanda terlalu penat, namun tidak semua dengkur itu adalah perkara biasa.
“Malah, ramai individu yang saya kenal meninggal dunia semasa tidur akibat sleep apnea.
“Disebabkan itu, saya mahu sebarkan kesedaran mengenai penyakit ini,” katanya.
Sangkaannya mengenai ramai orang masih tidak mengetahui berkaitan penyakit itu ternyata benar apabila perkongsian di media sosial berkenaan menjadi tular.
“Saya tak sangka hantaran itu menjadi tular. Daripada hantaran itu juga, saya tahu ramai orang senasib dengan saya.
“Dari situ, saya juga belajar maklumat baharu mengenai penyakit itu daripada pesakit lain.
“Saya nasihatkan supaya jangan takut untuk bertemu doktor dan jangan sesekali anggap dengkur sebagai perkara biasa mahupun bahan lawak.
“Perkara ini tidak boleh dibuat main kerana ia membabitkan nyawa. Jika ada simptom seperti saya, terus rujuk pakar ENT dengan segera dan dapatkan rawatan betul mengikut saranan doktor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




