Pelumba cilik pushbike empat buah negara berentap sempena Lion Rocket Speed Series 2.0

Pelumba cilik pushbike empat buah negara berentap sempena Lion Rocket Speed Series 2.0

KANGAR: Lebih 150 pelumba cilik pushbike termasuk dari Singapura, Indonesia dan Thailand berentap sempena Lion Rocket Speed Series 2.0 yang berlangsung di Decathlon Klippa Batu Kawan, Pulau Pinang pada 20 Jun lalu.

Perlumbaan tersebut dianjurkan Lion Rocket Pushbike Club (LRPC) dengan kerjasama Decathlon Pulau Pinang yang bertujuan menyediakan platform kompetitif selamat dan profesional bagi pembangunan sukan pushbike dalam kalangan kanak-kanak selain mengalakkan gaya hidup aktif bersama keluarga.

Acara berkenaan melibatkan lapan kategori perlumbaan merangkumi peserta seawal usia 1.5 tahun sehingga 13 tahun (kategori Super Open).

Selain menawarkan pengalaman perlumbaan yang menyeronokkan, Lion Rocket Speed Series 2026 turut memperkenalkan sistem pengumpulan mata sepanjang siri perlumbaan bagi menentukan kedudukan keseluruhan peserta.

Presiden Lion Rocket Pushbike Club, Zamir Ridha berkata, penganjuran siri tersebut bukan sekadar perlumbaan biasa, sebaliknya merupakan usaha membangunkan ekosistem sukan pushbike yang lebih tersusun dan berdaya saing.

“Lion Rocket Speed Series diwujudkan sebagai platform pembangunan bakat muda serta menggalakkan penglibatan keluarga dalam aktiviti sukan. Kami mahu melahirkan lebih ramai pelumba yang berdisiplin, berdaya saing dan bersemangat kesukanan sejak usia muda,” katanya di sini semalam.

Katanya, sistem mata yang diperkenalkan bakal membuka peluang kepada peserta untuk bersaing secara konsisten sepanjang musim bagi merebut gelaran berprestij ‘Champion of Champions’ pada pusingan akhir nanti.

“Selain menjadi medan persaingan sihat, pertandingan ini juga dijangka memberi impak positif daripada segi ekonomi kepada komuniti setempat melalui kehadiran peserta, keluarga dan pengunjung yang memeriahkan kawasan sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Sebagai rekod, Lion Rocket Pushbike Club merupakan sebuah komuniti dan pasukan pushbike yang aktif menganjurkan program pembangunan sukan kanak-kanak, latihan, roadshow dan pertandingan pushbike di Malaysia.-UTUSAN

Scroll to Top