i-Legasi KWSP inovasi sistem persaraan merentas generasi

i-Legasi KWSP inovasi sistem persaraan merentas generasi

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kemudahan i-Legasi yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat sebagai satu pembaharuan yang signifikan dalam evolusi sistem persaraan negara.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pendekatan itu menunjukkan KWSP kini tidak lagi melihat simpanan persaraan semata-mata sebagai simpanan individu, sebaliknya sebagai instrumen perlindungan kewangan antara generasi.

Beliau berkata, konsep itu selari dengan realiti masyarakat Malaysia hari ini apabila ramai ibu bapa yang sudah mencapai umur persaraan masih mahu membantu pasangan atau anak-anak yang belum mempunyai simpanan persaraan mencukupi.

“Secara keseluruhan, saya melihat i-Legasi sebagai satu langkah progresif, lebih fleksibel dan mencerminkan kematangan sistem KWSP.

“Ia bukan sekadar “skim pindah duit”, tetapi percubaan membina model persaraan berasaskan keluarga dan kesinambungan generasi. Jika diurus dengan disiplin dan literasi kewangan yang baik, ia boleh menjadi antara inovasi sosial yang penting dalam sistem persaraan Malaysia,” katamay.

Menurutnya, antara kekuatan utama pendekatan itu ialah menggalakkan budaya pemindahan kekayaan secara formal dan tersusun dalam institusi keluarga.

“Dengan i-Legasi, pemindahan itu kekal berada dalam ekosistem persaraan dan terus menerima dividen KWSP. Pendekatan ini lebih mampan berbanding pemberian tunai yang mungkin cepat habis dibelanjakan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu juga berpotensi mengurangkan risiko kemiskinan warga emas generasi akan datang memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua.

“Jika generasi muda gagal membina simpanan persaraan sejak awal, tekanan fiskal terhadap kerajaan pada masa depan dijangka meningkat, justeru i-Legasi boleh menjadi mekanisme pengukuhan institusi keluarga sebelum masalah itu menjadi lebih serius,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian termasuk kemudahan itu mungkin hanya benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan yang mempunyai simpanan tinggi kerana hanya ahli yang melepasi paras Simpanan Mencukupi layak membuat pemindahan.

“Hakikatnya, majoriti pencarum KWSP masih belum mencapai tahap itu. Jadi dari sudut sosial, impak besar mungkin lebih tertumpu kepada golongan M40 ke atas, T20, profesional dan mereka yang mempunyai caruman konsisten jangka panjang,” katanya.

Katanya, selain itu, terdapat risiko sesetengah ibu bapa ‘terlebih memberi’ kepada anak sehingga menjejaskan keselamatan persaraan sendiri.

“Ini penting kerana jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat. KWSP sendiri menekankan bahawa simpanan perlu bertahan sepanjang hayat persaraan.

“Jika tidak dikawal dengan baik, ada kemungkinan warga emas akhirnya kembali bergantung kepada anak atau bantuan kerajaan.

Sebab itu saya fikir syarat Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dan sesi nasihat kewangan sebelum pemindahan adalah sangat penting,” katanya.

Semalam, KWSP memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan serta jaminan kewangan ahli merentas generasi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dilaporkan berkata, langkah itu selaras dengan usaha berterusan institusi berkenaan membantu ahli bukan sahaja mengumpul simpanan, malah mengurus dan memastikan kelangsungan pendapatan persaraan secara mampan.

Beliau berkata, menerusi kemudahan i-Legasi, ahli KWSP yang berumur 55 atau 60 tahun ke atas kini boleh memindahkan sebahagian lebihan simpanan mereka kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat seperti pasangan dan anak-anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top