Ibu dipercayai terlelap, anak 2 tahun maut

Ibu dipercayai terlelap, anak 2 tahun maut

am@hmetro.com.my

Melaka: Seorang wanita disyaki mengalami ‘microsleep’ atau terlelap ketika memandu mengakibatkan anaknya berusia dua tahun maut dalam kemalangan dua kereta di Jalan Penghulu Jaabar, dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang dan mangsa, Muhammad Alexander Zulkarnain Muhammad Nur Basir dilapor parah di kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan membabitkan Perodua Axia dipandu Nurul Nadiah Mustapha Kamal dengan Perodua Myvi dipandu seorang lelaki Pegawai Tadbir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 34 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal semasa kejadian suri rumah berusia 31 tahun itu bersama empat anaknya dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menghala ke Tehel.

“Apabila sampai di tempat kejadian wanita itu dipercayai tertidur dan terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan Perodua Myvi yang menghala ke Duyong dari Bukit Katil.

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu dan penumpang kedua-dua kereta cedera dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata, pada jam 4 petang doktor mengesahkan seorang mangsa, Muhammad Alexander Zulkarnain meninggal dunia ketika dirawat.

Menurutnya, Nurul Nadiah yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami patah kaki kanan, manakala tiga lagi anaknya, Muhammad Uthman Affan, 4, (luka di kaki kanan); Nur Alisha Atiqa, 7, (patah kaki kanan) dan Muhammad Danish AL Faateh, 9 (luka di muka).

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Pemandu Myvi, Fairul Haziq Mohd Aris mengalami kecederaan di dalam perut manakala abangnya, Fairul Hafids, 45, disahkan cedera pada paru-paru,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk saksi bebas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top