Ibu kembar tertua China kini pempengaruh

Ibu kembar tertua China kini pempengaruh

Beijing: Sheng Hailin, wanita berusia 76 tahun yang pernah menggemparkan dunia sebagai ibu kepada pasangan kembar tertua di China, kini sekali lagi menjadi tumpuan apabila berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pempengaruh media sosial.

Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), Sheng kini memiliki hampir satu juta pengikut di platform digital, yang mana beliau menjadi sumber inspirasi kepada jutaan rakyat China, terutamanya ibu bapa yang pernah mengalami kehilangan anak.

Kehidupan Sheng berubah sepenuhnya pada tahun 2009 selepas anak tunggalnya, Tingting, bersama suami tercinta meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida, meninggalkan Sheng dalam kekosongan yang amat mendalam.

Enggan terus tumpas kepada duka, Sheng membuat keputusan nekad untuk menjalani rawatan persenyawaan luar rahim (IVF) pada usia 60 tahun demi mencari sinar baharu dalam hidupnya yang sunyi.

Proses kehamilan itu tidaklah mudah. Menurut laporan SCMP, beliau berdepan komplikasi kesihatan yang serius termasuk bengkak badan dan pendarahan hebat sebelum selamat melahirkan pasangan kembar perempuan, Zhizhi dan Huihui pada 2010.

Kejayaan kelahiran itu bukan sahaja memberi peluang kedua buat Sheng dan suaminya, malah mencetuskan perdebatan hangat di peringkat nasional mengenai etika keibubapaan pada usia lewat serta kemampuan kewangan mereka.

Meskipun Sheng bekas pengarah hospital dan suaminya seorang profesor universiti, kos membesarkan dua anak kecil ternyata memberi tekanan kewangan yang amat besar buat pasangan pesara ini.

Demi kelangsungan hidup dan pendidikan anak-anak, Sheng dilaporkan menjelajah ke seluruh pelosok China untuk memberikan ceramah kesihatan bagi menampung yuran sekolah serta kelas tambahan tarian dan piano.

Ujian hidup Sheng tidak terhenti di situ apabila suaminya diserang angin ahmar pada 2016, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 2022 akibat kegagalan jantung dan paru-paru.

Kematian suami tercinta memaksa Sheng memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga tunggal, namun beliau sekali lagi diuji apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan palsu yang membabitkan kerugian mencecah RM1.2 juta.

Di sebalik segala badai yang melanda, “wanita berani” ini enggan menyerah kalah kepada nasib dan mula menceburkan diri dalam bidang penstriman langsung pada usia 73 tahun.

Kini, melalui platform media sosial, beliau dikenali dengan panggilan mesra “Ibu Sheng” dan kerap berkongsi tip keibubapaan serta menjual produk kesihatan kepada pengikutnya.

Kehadirannya di ruang digital bukan sekadar mencari pendapatan, tetapi bertujuan membina simpanan masa depan yang kukuh buat Zhizhi dan Huihui yang kini sedang meningkat remaja.

Sheng secara terbuka membincangkan cabaran jurang generasi antara beliau dan anak-anak perempuannya, satu topik yang mendapat sambutan hangat daripada komuniti dalam talian di China.

Baru-baru ini, siri foto yang merakamkan perjalanan hidupnya yang luar biasa telah memenangi anugerah antarabangsa, sekaligus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai ikon ketabahan.

Sheng menyimpan harapan besar untuk terus hidup sehingga usia melepasi 100 tahun agar dapat melihat anak-anaknya berjaya, sambil menegaskan betapa beliau amat berbangga memegang gelaran sebagai seorang ibu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top