nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan menjelaskan pemilik salun dan kedai makan, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 35, atau dikenali sebagai Yuyu tidak dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah sebaliknya hanya dilepaskan dengan jaminan mahkamah pada minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pertuduhan terhadap wanita itu juga diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama ketika prosiding perbicaraan yang membolehkan wanita itu diikat jamin.
“Peruntukan seksyen diturunkan berdasarkan laporan kimia dan berat dadah yang dirampas bersama wanita itu.
“Dakwaan mengatakan wanita itu bebas tidak benar kerana kes terbabit masih dalam proses perbicaraan.
“Nur Ayu Fatihah dibenarkan jamin sebanyak RM10,000 pada minggu lalu. Ikat jamin yang dibayar itu belum lagi menentukan sama ada dia bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kes dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, selain Nur Ayu Fatihah, seorang lagi turut didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi suspek termasuk suami Nur Ayu Fatihah masih kekal dengan pertuduhan di bawah Seksyen 39B akta sama.
“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk netizen tidak keliru dengan video berkaitan Nur Ayu Fatihah yang dimuat naik di media sosial.
“Dia tidak dilepaskan daripada pertuduhan itu (kes dadah) sebaliknya hanya dibebaskan dengan jaminan mahkamah selepas seksyen bagi pertuduhan itu diturunkan,” katanya.
Terdahulu, wujud satu akaun menggunakan nama Miss Yuyu di aplikasi TikTok yang mempunyai enam video baharu dimuat naik.
Menerusi video berkenaan ia menjadi tanda tanya dan perbualan dalam kalangan netizen mengatakan Yuyu sudah dibebaskan.
Media sebelum ini melaporkan, lima suspek termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada 10 Julai tahun lalu atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh semua tertuduh iaitu Mohd Faizal Ismail, 35; isterinya, Nur Ayu Fatihah; Mohamad Farid Ismail, 33; Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




