Ibu mangsa harap pelaku terima hukuman setimpal

Ibu mangsa harap pelaku terima hukuman setimpal

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya mahu keadilan ditegakkan untuk anak dengan harapan agar pelaku dikenakan hukuman setimpal.”

Begitu kata Nasib Kantok, 60, ibu kepada Allahyarham Nurul Asikin Lan, 28, yang dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu sebelum dikaitkan penemuan mayat wanita hampir reput di Kawasan Perindustrian Tabuan Jaya, Kuching, Sarawak pada 14 Disember lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, meskipun bersedih dengan tragedi menimpa anak sulungnya, dia tetap reda dengan ketentuan Allah SWT.

Menurutnya, kali terakhir Nurul Asikin yang mesra dipanggil Amoi dilihat ketika berada di rumah sepupunya di Darul Hana, Kuching.

Katanya, dia sempat membuat panggilan video kepada pada hari terakhir anaknya itu dilihat.

“Saya ada buat panggilan video kepada Amoi dan sempat berpesan supaya tidak balik lewat pada malam itu kerana esok dia bekerja.

“Apabila Amoi hilang, Alhamdulillah, kami sekeluarga mendapat banyak bantuan daripada orang ramai selepas berita kehilangannya tular di Facebook.

“Malah, sepupunya kerap memuat naik perkembangan mengenai kehilangan Amoi di Facebook yang mendorong kisah itu menjadi perhatian umum,” katanya.

Nasib berkata, mereka sekeluarga juga dibantu oleh bekas suami serta keluarga bekas mentua Amoi untuk mencarinya sepanjang tempoh kehilangan sehingga kini.

“Bagi saya, Amoi adalah seorang yang sentiasa ceria dan selalu senyum. Apabila ini berlaku (kehilangan Amoi), pastinya saya sedih, namun reda. Ini semua sudah ketentuan Allah SWT,” katanya.

Katanya, dia berharap keadilan ditegakkan dalam kes anak perempuannya itu dan pelaku dikenakan hukuman setimpal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top