Ipoh: Tekad seorang ibu menabung untuk jaminan masa depan anaknya bertukar menjadi rezeki yang tidak disangka apabila Muhammad Yaa’sin Muhamad Pilus, seorang individu Sindrom Down dari Trong, Perak, diumumkan sebagai pemenang hadiah BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) berjumlah RM100,000 menerusi kategori Cabutan Negeri – Hadiah Bonus pada Mei lalu.
Bagi Suzanah Ismail, 54, seorang pembantu farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemenangan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar ganjaran kewangan.
Ia hasil daripada amalan menabung yang dipupuk lebih sedekad lalu secara konsisten, didorong oleh satu harapan iaitu untuk menyediakan jaminan kewangan yang lebih kukuh buat anak lelakinya yang kini berusia 24 tahun dan individu Sindrom Down ringan.
Lebih 10 tahun lalu, Suzanah memulakan perjalanan menabung melalui BSN SSP atas nama anaknya.
Bermula dengan kemampuan kewangannya pada ketika itu, dia kekal berdisiplin dengan menyimpan sedikit demi sedikit, untuk memastikan anaknya mempunyai jaminan kewangan dan kehidupan yang lebih terjamin pada masa hadapan.
Walaupun anaknya tidak bekerja disebabkan keadaannya, Suzanah tidak pernah berputus asa untuk membina tabungan sebagai jaringan keselamatan kewangan buat insan istimewa dalam hidupnya itu.
Seperti kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas, perancangan bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang sentiasa menjadi keutamaan.
“Sebagai seorang ibu, perkara yang paling saya risaukan ialah masa depan anak saya. Sebab itu saya mulakan tabungan atas namanya supaya suatu hari nanti dia mempunyai simpanan yang boleh membantu memudahkan urusannya.
“Saya sama sekali tidak menyangka perjalanan kami menabung akhirnya membawa rezeki sebesar ini.
“Apabila dimaklumkan anak saya memenangi RM100,000, saya benar-benar terharu dan amat bersyukur. Hadiah ini bukan sekadar wang, tetapi menyuntik ketenangan dalam hati saya kerana mengetahui dia kini mempunyai jaminan kewangan yang lebih baik untuk masa depannya.
“Saya berharap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa lain, terutamanya mereka yang mempunyai anak berkeperluan khas, supaya mula menabung mengikut kemampuan. Walaupun jumlahnya kecil, jika dilakukan secara konsisten, ia mampu memberi manfaat yang besar pada masa hadapan. Kita juga tidak pernah tahu rezeki yang menanti hasil daripada usaha dan disiplin kita,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kisah Suzanah mencerminkan objektif sebenar BSN SSP yang menggalakkan rakyat Malaysia membudayakan amalan menabung secara konsisten sambil membuka peluang menikmati ganjaran yang mampu membawa perubahan bermakna dalam kehidupan.
“Kisah Puan Suzanah mengingatkan kita bahawa perancangan kewangan bukan ditentukan oleh jumlah simpanan, tetapi oleh kesungguhan untuk bermula dan kekal konsisten.
“Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan masa depan yang lebih baik buat anak-anak mereka, dan usaha beliau sepanjang lebih sedekad ini wajar dijadikan contoh.
“Di BSN, kami sentiasa komited menyediakan penyelesaian simpanan yang mudah diakses dan memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia dalam mencapai matlamat kewangan mereka. Melalui BSN SSP, pelanggan bukan sahaja dapat mengembangkan simpanan mereka, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
“Ini sekali gus mengukuhkan kepentingan perancangan kewangan masa panjang serta menyokong usaha memperkasakan budaya menabung dalam kalangan semua lapisan masyarakat,” katanya.
BSN SSP terus menjadi produk simpanan utama yang direka untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat menabung masa panjang menerusi gabungan manfaat simpanan dan peluang memenangi pelbagai ganjaran menarik termasuk hadiah utama BSN SSP bernilai RM1 juta kepada seorang penyimpan setiap bulan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang BSN di www.bsn.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd

