'Selagi aku ada, aku tak akan biar mu' – Kakak selamatkan adik OKU

am@hmetro.com.my

Tumpat: Seorang wanita nekad menyelamatkan adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas pemuda itu terperangkap dalam bilik ketika rumah mereka di Kampung Kubu, Telaga Bata, di sini, terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Mohd Fazli Mustafa, 35, yang lumpuh dari pinggang ke bawah, melecur di bahagian perut dan mengalami sesak nafas.

Siti Nor Azizan Mustafa, 40, berkata ketika kejadian dia sedang tidur sebelum tersedar dan menuju ke bilik yang dijadikan ruang solat.

“Sebaik membuka pintu, saya melihat ruang itu sedang terbakar dan segera memberitahu suami serta menjerit api… api dan jeritan itu didengari ibu serta bapa yang berada dalam bilik mereka.

“Tanpa membuang masa, ibu segera mengeluarkan ayah yang mengidap sakit buah pinggang menggunakan kerusi roda melalui dapur.

“Saya pula terus keluar untuk mengalihkan kereta di halaman rumah sebelum terdengar jeritan adik (Mohd Fazli) meminta tolong dari dari arah bilik tidurnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, mendengar jeritan itu dia segera keluar dari kereta dan dengan menggunakan sebatang kayu, dia serta seorang penduduk kampung cuba membengkokkan besi cermin kaca di bilik tidur adiknya itu.

“Sebaik besi cermin kaca itu berjaya diluaskan sedikit, saya terus menarik badan Mohd Fazli dan berjaya dikeluarkan dalam bilik yang semakin marak dengan api.

“Adik saya lumpuh dari pinggang ke bawah kerana terjatuh dari pokok manggis 12 tahun lalu dan ketika selepas menariknya keluar, dia mengaduh panas sebelum kami menyiram air ke tubuhnya.

“Nasib baik dia menjerit meminta tolong kerana kami semua sedang panik ketika itu dan sebaik mendengar suaranya, saya tidak berfikir panjang untuk menyelamatkannya kerana dalam hati saya berkata, selagi aku ada, aku tak akan biar mu mati,” katanya.

Siti Nor Azizan berkata suaminya, Muhamad Talmizi Razali, 41, turut melecur di bahagian belakang dan kaki ketika cuba menyelamatkan diri.

Muhamad Talmizi dirawat sebagai pesakit luar manakala Mohd Fazli pula dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, dekat sini.

Kebakaran itu juga menyebabkan empat motosikal iaitu dua Yamaha 135LC, Honda EX5 dan Honda C70 hangus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.15 petang dan seramai 13 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Tumpat bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan kemusnahan 70 peratus dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top