Ibu mentua Abdul Hadi meninggal dunia akibat sakit tua

Ibu mentua Abdul Hadi meninggal dunia akibat sakit tua

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ibu mentua kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Dayang Abdullah, 90, meninggal dunia di rumahnya tengah malam tadi.

Allahyarham Dayang dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Belubur, Rusila, Marang, 12.20 tengah malam tadi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengimamkan solat jenazah Allahyarham yang diadakan 10 pagi di Masjid Rusila sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rusila di sini.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi hantaran di Facebooknya turut berkongsi rasa sedih atas pemergian ibu mentuanya.

“Terasa sebak dan sedih di jiwa mendengarkan khabar pemergian ibu mentua, Dayang Abdullah. Pemergiannya menggores rasa pilu buat seluruh anggota keluarga yang sangat rapat dengannya.

“Meski tidak lagi bersama, doa terhadapmu akan terus mengalir, mengiringi perjalanan menuju tanah abadi.

“Semoga mendapat rahmat daripada Allah SWT, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan solihin,” katanya menerusi hantaran itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalilturut memuat naik hantaran mengenai pemergian neneknya.

“Dengan hati yang pilu, saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang sangat saya sayangi iaitu tok saya yang telah pergi menghadap Ilahi. Kehilangannya amat dirasai dan meninggalkan kekosongan yang tak terganti dalam hidup kami sekeluarga.

“Beliau bukan sahaja seorang nenek, tetapi juga sumber kekuatan dan inspirasi bagi kami semua. Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah, ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan segala amal kebaikannya diterima. Tok, kenangan bersamamu akan kami kenang dan simpan dalam hati selamanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top