hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga tidak pernah ada musuh atau masalah hutang dengan sesiapa, jadi kami hairan dan tidak faham mengapa ibu menjadi sasaran tindakan sekejam ini.”
Demikian luahan hiba Joyce Yap, anak kepada warga emas berusia 60-an yang melecur kira-kira 50 peratus akibat disimbah bahan api dan dibakar seorang lelaki ketika bekerja di sebuah kedai pertaruhan di sini, Ahad lalu.
Joyce berkata, ketika kejadian, ibunya sedang bekerja seorang diri.
Disebabkan tiada sebarang ancaman atau perselisihan faham sebelum ini, Joyce tidak menolak kemungkinan suspek sebenarnya tersalah mengenal pasti sasaran.
“Pada hari kejadian iaitu Ahad, hanya ibu saya yang bertugas, namun ada kalanya pekerja sambilan turut bekerja pada hari berkenaan.
“Sebab itu kami sekeluarga langsung tidak mempunyai sebarang petunjuk atau memahami apa motif sebenar suspek tergamak melakukan perbuatan sedemikian terhadap ibu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, ibunya kini kritikal dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital.
Sementara itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Kepong, Dic Lai memaklumkan, keadaan mangsa belum stabil berikutan tahap kelecuran serius yang dialaminya.
Menurutnya, walaupun Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sudah menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sahih semalam, namun pihak berkenaan belum menerima sebarang petunjuk baharu setakat jam 12 tengah hari tadi.
“Setakat yang saya tahu, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur sudah mengambil alih kes ini dan sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit,” katanya.
Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan atau melihat individu mencurigakan di lokasi untuk segera tampil membantu siasatan.
Pada 9 Ogos, portal Harian Metro melaporkan wanita warga emas melecur 50 peratus selepas disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 kira-kira jam 8 pagi berhubung kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

