Ibu sangka ubat batuk

Ibu sangka ubat batuk

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam insiden keracunan ubat yang membabitkan tiga kanak-kanak di Kajang pada Isnin lalu.

JKNS dalam kenyataan memaklumkan, dua lagi kanak-kanak yang masih dirawat kini dalam pemantauan rapi pihaknya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dipercayai diberikan sejenis cecair yang disangka sebagai ubat batuk.

“Bagaimanapun, cecair berkenaan sebenarnya adalah ubat terkawal yang memerlukan preskripsi serta pemantauan doktor dan diperoleh daripada sebuah klinik swasta.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebaik kejadian disedari.

“Seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi kini sedang menerima rawatan rapi dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan perkembangan klinikal yang baik,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil ringan soal penyimpanan dan penggunaan ubat-ubatan, khususnya miembabitkan kanak-kanak.

“Penggunaan ubat tanpa mengikut preskripsi serta dos yang ditetapkan boleh mengundang risiko serius dan komplikasi kesihatan.

“Ibu bapa serta penjaga disarankan supaya menyimpan ubat di tempat selamat dan jauh daripada capaian kanak-kanak, memastikan ubat kekal dalam bekas asal yang berlabel jelas, menyemak jenis serta kegunaan ubat sebelum diberikan, dan mendapatkan rawatan segera sekiranya berlaku pengambilan ubat secara tidak sengaja,” katanya.

JKNS turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmen untuk memastikan rawatan terbaik terus diberikan kepada kanak-kanak yang masih menerima rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top