Ibu sentiasa temani Along Cham

Ibu sentiasa temani Along Cham

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu pelakon dan pelawak Along Cham iaitu Siti Habsah Kadir, 64, akan sentiasa menemani dan berada di sisi anaknya itu sepanjang melalui perbicaraan kes ditetapkan mahkamah.

Siti Habsah berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk selalu berada di sisi Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, ketika ini bagi memberi semangat bangkit membina kehidupan baharu.

“Sebelum ini, saya pernah setahun tidak berjumpa Along hingga bermacam perkara terjadi dan menimpa dirinya. Jadi, sekarang biarlah saya selalu ada bersama Along untuk memberi semangat kepadanya.

“Saya memang tinggal dengannya (Along) dan anak-anak yang lain juga bersetuju. Harapan saya agar Along terus bersemangat, sabar dan menerima ujian hidup ini dengan tabah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Siti Habsah, dia sedih juga melihat ujian hidup yang dilalui oleh anaknya itu, namun tetap berdoa kepada Allah agar Along kuat dan sentiasa positif berikutan pasti ada hiikmah di sebaliknya.

Sementara itu, Along berkata, kehadiran ibunya di sisi sangat penting kerana wanita berkenaan adalah ‘syurganya’ yang sentiasa menitipkan doa buatnya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

“Saya akan bawa mama ke mana saja termasuk ketika berhadapan urusan perbicaraan di mahkamah. Ini ‘syurga’ saya dan mestilah kena sentiasa dibawa.

“Bukan saja mama yang ada (beri semangat), tetapi keluarga saya sebenarnya sentiasa ada di belakang serta sahabat-sahabat rapat,” katanya.

Along berkata, dia akan terus berjuang habis-habisan membersihkan nama baiknya, termasuk nama ibunya juga yang dalam masa sama didakwa turut terjejas.

Pada 28 Februari lalu, Along tetap dengan keputusannya mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis atau ganja yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya pada 14 Disember tahun lalu.

Justeru, Mahkamah Majistret Sepang membuat keputusan menetapkan sebutan semula dan serahan dokumen kes Along membabitkan tiga pertuduhan memiliki dadah itu pada 7 April depan.

Bagi pengesahan kes lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, 33, pula, sebutan dibuat di

Mahkamah Rendah Syariah Sepang, esok.

Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top