am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Tiada kata yang mampu diucapkan seorang wanita apabila terpaksa menerima takdir membesarkan lima anak Orang Kurang Upaya (OKU) sendirian selepas kematian suami lebih seminggu lalu.
Ismarida Ismail, 42, berkata, dia mengharapkan agar dirinya tabah dan kuat apatah lagi dengan tahap kesihatan tidak menentu akibat masalah jantung berlubang.
Katanya, bukan mudah menjadi ibu tunggal kepada lima anak berusia di antara tiga hingga 19 tahun, namun reda dengan takdir yang ditentukan untuknya.
“Dugaan ini sangat berat buat saya dan anak, buat masa ini saya masih buntu memikirkan masa depan kami sekeluarga.
“Kami hilang punca pendapatan. Sebelum ini, semua bergantung kepada arwah suami, tetapi kini kami sekeluarga tidak mempunyai apa-apa, selain mengharapkan bantuan orang di sekeliling.
“Mujurlah tiga anak yang masih bersekolah memperoleh wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 setiap seorang dan ia sedikit meringankan beban ditanggung untuk perbelanjaan persekolahan mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telekong.
Terdahulu Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed menyantuni keluarga berkenaan dan turut menyampaikan barang keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.
Ismarida berkata, selepas kematian arwah suaminya, Kamaruzaman Abdul Razak, dia bergantung harap kepada jiran tetangga dan ahli keluarga terdekat memandangkan masih dalam proses edah.
“Buat masa ini saya masih tidak boleh keluar rumah dan rancangan selepas ini adalah untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian memandangkan sebelum ini saya tidak pernah bekerja disebabkan masalah jantung selain perlu menjaga anak-anak yang masih kecil dan tidak mereka mahu terabai.
“Dalam masa terdekat ini, anak sulung, Nur Hidayah Kamaruzaman, 19, akan bekerja di kedai makan yang berhampiran dan ia sedikit sebanyak membantu keluarga dalam membeli barangan keperluan harian,” katanya.
Katanya, dalam keadaannya pada ketika ini, dia amat harap ada pihak dapat tampil untuk membantu mengurangkan beban mereka sekeluarga.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ismarida di talian 017-9741783.
© New Straits Times Press (M) Bhd