am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Bayi perempuan berusia setahun dipercayai didera hingga mati oleh ibu kandung dan teman lelakinya di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini, malam tadi.
Difahamkan kejadian terbongkar selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berusia 15 bulan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dihantar ibu kandungnya berusia 24 tahun kira-kira 11 malam.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan lebam pada perut, belakang badan dan pada lubang dubur bayi malang itu sebelum membuat laporan polis.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita itu membawa anak tunggalnya itu dari Kampung Anak Air Durian Daun Pondoi, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya berusia 20 tahun di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
“Wanita itu kemudian keluar untuk membeli makanan dan meninggalkan bayi dengan kekasihnya yang juga pemain muzik,” katanya.
Sumber berkata, wanita itu memberitahu dia menidurkan anak tunggalnya hasil perkahwinan terdahulu pada jam 10 malam sementaranya teman lelakinya menguruskan kedai.
Katanya, suspek yang bercerai tahun lalu mendakwa anaknya itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan pada jam 10.30 malam untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.
“Pasangan itu kemudian membawa bayi itu ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan pada jam 11 malam sebelum doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia,” katanya memaklumkan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Katanya, pasangan kekasih akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




