Identiti lelaki maut kebakaran stor penyimpanan khemah dikenal pasti

Identiti lelaki maut kebakaran stor penyimpanan khemah dikenal pasti

am@hmetro.com.my

Jitra: Identiti lelaki yang maut dalam kebakaran di stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang di sini semalam, dikenal pasti sebagai Mohd Syaiful Akmal Abu Hassan, 37.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang masih bujang itu bekerja sebagai pemasang khemah katering.

Beliau berkata, pada jam 2.30 petang semalam, anggotanya yang bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima panggilan MERS 999 berhubung kebakaran membabitkan sebuah rumah di lokasi kejadian dan terdapat mangsa terperangkap.

“Didapati sebuah stor penyimpanan barang katering terbakar dan dimaklum oleh pegawai bomba terdapat mangsa seorang lelaki meninggal dunia berhampiran stor terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dilaporkan berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

“Malah, hasil temubual dengan kakak mangsa yang berada di tempat kejadian memaklumkan adiknya bekerja di bahagian pemasangan khemah dan menjaga stor simpanan barangan katering, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Radzi berkata, kakaknya memaklumkan, ketika kebakaran berlaku adiknya sudah keluar dari stor berkenaan tetapi masuk semula untuk mengambil motosikalnya dan terperangkap di dalam stor itu sebelum ditemui meninggal dunia.

Beliau berkata, pegawai dan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba di lokasi melakukan siasatan dan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi.

“Mangsa meninggal dunia akibat terbakar dan kes diklasifikasikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat, ” katanya.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 5.50 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top