MELAKA: Kerajaan negeri Melaka tetap menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat pada 28 Mac ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai memberi peluang kepada rakyat pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjurannya merupakan acara tahunan bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat
“Rumah terbuka ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Moreh Ketua Menteri bersama Media Melaka di sebuah restoran di Peringgit di sini malam tadi.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat.
Kata Perdana Menteri, langkah tersebut dibuat susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri tetap akan meneruskan penganjuran rumah terbuka berkenaan seperti yang dijadualkan di MITC bagi membolehkan rakyat bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana muhibah. – UTUSAN




